PENYERANG baharu Selangor FC, Richmond Boakye dilaporkan mengalami kecederaan kepala, cerebral concussion ketika aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Susulan kecederaan itu, pemain kelahiran Ghana itu mungkin terlepas aksi pertama Piala Malaysia berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Khamis.

Selangor FC dalam satu kenyataan di laman sosial memaklumkan bahawa Boakye sudah pulih daripada simptom dan tanda-tanda cerebral concussion.

“Richmond Boakye dikeluarkan awal semasa perlawanan menentang JDT setelah mengalami kecederaan kepala, cerebral concussion,” ujar Selangor FC menerusi catatan di Facebook.

Kenyataan itu menyebut, pihaknya mengikut prosedur perubatan bagi kecederaan tersebut apabila pemain berkenaan dikeluarkan daripada perlawanan serta-merta bagi pemantauan, pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Setelah diteliti dan melalui prosedur yang ditetapkan, dia sudah pulih daripada simptom dan tanda-tanda cerebral concussion serta pemeriksaan lanjut menunjukkan tiada kecederaan lain.

“Pengurusan kecederaan dan proses fasa pemulihannya akan dipantau rapi oleh pasukan perubatan sukan kelab,” ujar Selangor FC.

Kecederaan yang dialami Boakye menyaksikan dia digantikan dengan Quentin Cheng pada minit ke-17 dengan perlawanan tersebut dimenangi skuad Harimau Selatan 2-0.

PIALA MALAYSIA - PUSINGAN PERTAMA

KHAMIS (3 OGOS)

Perak FC lwn Kedah Darul Aman FC

(Stadium Perak, 8.15 malam)

Penang FC lwn Kuala Lumpur City FC

(Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 9 malam)

PDRM FC lwn Selangor FC

(Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 mlm)

JUMAAT ( 4 OGOS)

Kelantan FC lwn Johor Darul Ta'zim

(Stadium Sultan Muhammad IV, 8.15 malam)

Harini FT lwn Sri Pahang FC

(Stadium Tuanku Abdul Rahman, 9 mlm)

SABTU (5 OGOS)

Kelantan United lwn Negeri Sembilan FC

(Stadium Sultan Muhammad IV, 5.30 petang)

Kuching City FC lwn Sabah FC

(StadiumNegeri, 8.15 mlm)

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan MFL 

-- Sinar Harian