Selepas sekadar seri 4-4 berdepan Felda United pada aksi terakhir pusingan pertama Sabtu lalu, jurulatih Selangor Mehmet Durakovic mahu memastikan tiga mata diraih pasukannya berdepan lawan sama dalam aksi Liga Super pada Selasa.

Aksi di stadium Shah Alam kali ini adalah perlawanan pertama di pusingan kedua dan Durakovic mahu memastikan Selangor bermula dengan rentak kemenangan.

Tiga mata juga mampu menentukan peluang Selangor meraih kejuaraan liga musim ini, namun Durakovic tetap waspada dengan ancamana Felda.

"Kami mahu menang terutamanya kami bermain di laman sendiri jadi tiga mata itu penting, namun saya akui Felda United merupakan pasukan yang kuat.

Memasuki pusingan kedua liga, kami perlu menempuh banyak pasukan yang kuat jadi ia memberikan cabaran terutama perlu beraksi dalam bulan Ramadan.

Selangor terpaksa beraksi tanpa kelibat tonggak tengah Leandro Dos Santos akibat digantung perlawanan.

Manakala jentera serangan akan terus diterajui Afiq Azmi dan Abdul Hadi Yahya yang mengisi ketiadaan Guilherme de Paula.

"Selama ini Afiq dan Guilherme mempamerkan gandingan yang cukup mantap dibarisan hadapan namun dengan adanya Hadi Yahya sebagai ganti memberikan kami peluang untuk menjaringkan gol.

Tempoh hari Hadi mempamerkan aksi yang cukup baik dan saya memuji pemain kerana mampu meledak 4 gol tanpa kehadiran pemain import," katanya.