Selepas tiga minggu rehat, saingan Liga Malaysia kembali menemui peminat, pada Selasa.

Namun, ia hanya membabitkan satu perlawanan iaitu Sabah menentang Selangor di Likas bagi aksi pusingan kedua Piala FA.

Selangor bakal bertandang ke tempat lawan bertemu Sabah tanpa tiga tonggak utama.

Mereka ialah Bunyamin Omar, S. Kunanlan dan K. Gurusamy dilaporkan belum pulih daripada kecederaan.

Ketiga-tiganya merupakan sandaran Selangor musim ini yang selesa berada di kedudukan ketiga Liga Super.

Ketiadaan mereka tampak bakal mengubah corak sebenar permainan Selangor.

Namun, melihat kepada situasi itu jurulatih Irfan Bakti Abu Salim pasti punyai pendekatan taktikal berlainan.

Keupayaan pemain yang jarang beraksi seperti Adib Aizuddin Abdul Latif dan Wan Hoesne Wan Hussin kini bakal jadi taruhannya.

Ia bagi membantu Red Giants melepasi halangan tersebut sekaligus mencapai misi sekurang-kurangnya meraih satu piala, musim ini.

Musim lalu, Selangor tersingkir awal apabila kalah kepada Johor FC di pusingan kedua.

Perlawanan Selangor menentang Sabah akan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 3.45 petang Selasa.