SUDAH genap setahun pemergian Abdulmanap Nurmagomedov, bapa kepada bekas juara lightweight UFC Khabib Nurmagomedov.

Pemergian Allahyarham ternyata dirasai bukan sahaja oleh anaknya sendiri, malah turut dirasai oleh ramai penggiat serta peminat sukan seni bela diri campuran (MMA).

Baru-baru ini, Khabib telah memuat naik posting di laman Instagramnya, berupa sebuah video lama bapanya ketika Allahyarham masih hidup.

Dalam posting tersebut, Khabib turut menyampaikan mesej menerusi kapsyennya mengenai kehidupan di dunia ini yang bersifat sementara dan milik Allah S.W.T.

“Sudah setahun pemergian ayah. Peristiwa ini telah menambahkan lagi kepercayaan saya bahawa di dunia ini, kita tidak memiliki apa-apa, anak-anak pun tidak, ibu bapa pun tidak, harta pun tidak.. semuanya hanyalah sementara.

“Semuanya milik Allah secara mutlak dan kepada-Nya kita akan kembali. Dekatkan hati kita kepada Allah, banyak luangkan masa dengan-Nya, kerana akan tiba masanya kita semua akan disemadikan, bersendirian, di mana sahabat, saudara-mara, harta dan pengaruh kita, tidak akan berada bersama.. (yang ada) hanya amalan kita,” tulisnya.

Abdulmanap menghembuskan nafas terakhir pada 3 Julai tahun lalu selepas mengalami jangkitan paru-paru (pneumonia) akibat COVID-19.

BACA: Bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov meninggal dunia

BACA: Janji kepada ibu, ketiadaan ayah di sisi... antara sebab Khabib bersara

Allahyarham dimasukkan ke hosipital pada 26 April 2020 selepas disyaki mengidap penyakit tersebut dan terkena serangan jantung.

Abdulmanap merupakan antara individu yang bertanggungjawab melatih Khabib sejak kecil sehingga anaknya bergelar juara lightweight UFC dengan rekod cemerlang 29 kemenangan tanpa kalah.

Beliau juga diiktiraf sebagai bapa sukan MMA di Dagestan kerana berjaya melahirkan beberapa juara dunia serta juara Olimpik dalam sukan gusti roman-greko, sambo dan judo.