SUKAN
Seperti pulang ke rumah - Rashford sah sertai Barcelona secara pinjaman dari Manchester United

Barcelona memperkenalkan pemain baharunya, Marcus Rashford, di Kedai Kelab Barcelona FC, Barcelona, Sepanyol, 23 Julai 2025. REUTERS.
BARCELONA: Penyerang England, Marcus Rashford menyifatkan perpindahan ke Barcelona sebagai satu impian yang menjadi kenyataan, selepas secara rasmi menyertai kelab gergasi LaLiga itu secara pinjaman semusim dari Manchester United, dengan opsyen untuk pembelian tetap.
Menurut laporan media, Barcelona bersetuju menanggung keseluruhan gaji Rashford musim ini, selepas pemain berusia 27 tahun itu bersetuju menerima pemotongan gaji.
Nilai opsyen pembelian ditetapkan sekitar 30 juta euro (RM150 juta).
“Saya sangat teruja. Barcelona ialah kelab di mana impian menjadi kenyataan. Mereka menang banyak trofi, dan falsafah kelab ini sangat bermakna buat saya. Ia benar-benar terasa seperti saya pulang ke rumah,” kata Rashford dalam sidang media selepas sesi pengenalannya pada Rabu.Tambah Rashford, perbincangan awal bersama pengendali pasukan, Hansi Flick, turut memainkan peranan penting dalam keputusannya.
“Apa yang dilakukan Flick musim lalu sangat luar biasa – memimpin pasukan muda capai kejayaan dan kembali ke pra-musim dengan semangat untuk lebih lagi. Ia mencerminkan segalanya tentang kelab ini,” katanya.
Rashford, yang pernah dilihat sebagai bintang utama dan produk akademi United, mengalami kejatuhan prestasi mendadak serta konflik terbuka dengan pengurus Ruben Amorim. Ia menyaksikan beliau dipinjamkan ke Aston Villa pada jendela perpindahan Januari lalu.
“United sedang melalui fasa perubahan. Saya tidak ada apa-apa yang buruk untuk diperkatakan kerana kelab itu sangat penting dalam hidup saya. Tapi seperti hidup, tak semua berjalan seperti yang dirancang,” katanya.
“Ini adalah bab seterusnya dalam karier saya. Fokus saya kini ialah untuk perbaiki diri dan bantu pasukan capai kejayaan.”
Dalam kenyataan rasmi, Barcelona berkata, Rashford menandatangani kontrak pinjaman pada Rabu dan menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan penyerang itu.
“Rashford boleh bermain di mana-mana posisi serangan. Berkaki kanan, pantas, lincah menggelecek dan penyudah yang tajam – semuanya kini bakal ditampilkan dalam jersi Barca,” kata kelab itu.
Rashford sebelum ini merekodkan 426 penampilan dan menjaringkan 138 gol untuk United dalam semua pertandingan, termasuk menjulang dua Piala FA, dua Piala Liga dan satu gelaran Liga Europa.
Bagaimanapun, hubungan tegang dengan Amorim – yang secara terbuka mempertikaikan etika kerjanya – membuka jalan untuk perpindahan. Amorim malah pernah berkata beliau lebih rela menurunkan jurulatih penjaga gol sebagai pemain gantian daripada menggunakan pemain yang tidak menunjukkan komitmen penuh.
United dalam kenyataan ringkas mengucapkan selamat maju jaya kepada Rashford bagi musim baharu.
Rashford, yang telah menjaringkan 17 gol dalam 62 penampilan bersama England, berkata beliau kini berada pada tahap kecergasan yang lebih baik selepas bersama Villa – di mana beliau menjaringkan dua gol dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Beliau turut mendedahkan bahawa Barcelona sememangnya menjadi pilihan utama sejak awal tahun.
“Saya dah nyatakan sejak Januari lagi bahawa saya mahu ke Barcelona. Tapi perpindahan itu tak jadi, jadi saya ke Villa dahulu dan tempoh itu juga cukup bermakna. Sekarang tiba masanya buat keputusan baru – dan pilihan saya jelas. Barcelona ialah kelab keluarga, seperti apa yang saya biasa alami. Ia terasa seperti pulang ke rumah.”
Barcelona dijadual memulakan siri aksi pramusim mereka di Jepun dan Korea Selatan bermula 27 Julai ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami