WATFORD 1-1 SOUTHAMPTON

PENYERANG Southampton, Shane Long melakar sejarah baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjaringkan gol terpantas, awal pagi Rabu.

Dalam perlawanan menentang Watford itu, Long menjaringkan gol 7.69 saat selepas sepak mula, mengatasi rekod yang dicipta pertahanan Tottenham Hotspur, Ledley King, 19 tahun lalu.

King menjaringkan gol Spurs 9.82 saat selepas sepak mula menentang Bradford pada Disember 2000.



Long yang ditemui selepas perlawanan berkata: "Pengurus mahukan kami melakukan permulaan pantas bagi meletakkan mereka dalam keadaan tertekan. Ia rekod yang baik untuk saya."

Sementara, pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl, percaya rekod jaringan terpantas Shane Long dalam sejarah EPL itu tidak akan dapat diatasi dalam waktu terdekat.

Pemain kebangsaan Republik Ireland itu memberikan tekanan kepada pemain Hornets, Craig Cathcart yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum melambung bola melepasi jangkauan penjaga gol Watford, Ben Foster.

"Ia petanda yang baik selepas perlawanan Sabtu lalu di mana saya tidak gembira dengan aksi kami yang tidak cukup agresif dalam separuh masa pertama,” tambah Hasenhuttl.

"Saya berasakan mereka mendengarnya dengan baik terutama Long.

"Dia amat pantas dalam menyerang.

"Cara mendapatkan bola itu satu perkara, namun cara dia menyudahkan jaringan itu juga satu perkara.

"Dia membawa imej pemain yang tidak banyak menjaringkan gol, namun dalam empat perlawanan terakhir, dia menjaringkan tiga gol.

"Dia memaparkan persembahan yang amat-amat luar biasa dan saya amat gembira dengan apa yang dia lakukan.

"Bukan mudah untuk melakar rekod seperti itu.

"Peluang terbaik adalah dengan mencuba dari tengah padang.

"Itu sahaja cara untuk memadam rekod itu kerana untuk menjadi lebih pantas, saya berasakan ia amat mustahil," katanya.

Watford menyamakan kedudukan menerusi Andre Gray pada lewat permainan.

Gray meledak gol pada minit ke-90 untuk memastikan satu mata diraih skuad kendalian Javi Gracia itu bagi memintas Everton di tangga ketujuh liga.

"Kami bolos dalam perlawanan lalu dengan dua jaringan seperti itu," kata Gracia.

"Namun, jika bercakap mengenai pemain seperti Ben Foster dan Craig Cathcart, mereka sentiasa menumpukan perhatian.

"Adakalanya, perkara seperti ini boleh berlaku dan anda tidak akan tahu mengapa ia terjadi.

"Saya yakin pemain saya akan memberikan lebih perhatian dalam perlawanan yang akan datang bagi mengelakkan kesalahan seperti itu berulang.”