Juara tiga kali, Singapura mencerahkan peluang mereka untuk muncul juara Piala AFF buat kali keempat selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Thailand pada perlawanan akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Rabu malam.

Skuad ‘The Lions’ yang muncul juara pada 1998, 2004 dan 2007 jelas menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama dengan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Hasilnya, mereka berada di hadapan seawal minit ke-10 menerusi jaringan penalti yang disempurnakan oleh pemain naturalisasi mereka, Mustafic Fahrudin.

Pengadil perlawanan, Toma Masaaki dari Jepun memberikan sepakan penalti kepada Singapura selepas penyerang mereka, Aleksandar Duric dijatuhkan oleh pemain lawan dalam kotak penalti.

Bersambung separuh masa kedua, skuad ‘Changsuk’ (Gajah Perang) yang dibimbing oleh jurulatih dari Jerman, Winfried Schafer mengubah strategi permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Singapura, namun gagal menembusi kekebalan banteng pertahanan skuad ‘The Lions’ yang diterajui pemain tinggi lampai seperti Baihakki Khaizan dan Daniel Mark Bennett.

Serangan bertali arus Thailand akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah Adul Lahsoh menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-59 selepas beliau menyambar hantaran sebelah kanan daripada penyerang Teerasil Dangda.

Dua minit kemudian, penyerang Singapura, Mohamad Khairul Amri Mohd Kamal kembali memberikan pendahuluan kepada pasukan ‘The Lions’ selepas beliau dimanfaatkan hantaran daripada Duric.

Pemain tengah Thailand, Jakkapan Pornsai hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-63 namun sepakan percuma beliau berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud.

Pemain pertahanan skuad ‘The Lions’, Baihakki Khaizan memastikan mereka membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik pada Sabtu ini di Stadium Supachalasai, Bangkok menerusi gol ketiga pada minit-minit terakhir permainan selepas beliau memanfaatkan kekalutan yang berlaku di hadapan gol pasukan pelawat.