NILAI: Ketegasan Malaysia tidak membenarkan penyertaan atlet Israel dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia Lelaki dijadualkan berlangsung pada 7-12 Dis di Bukit Jalil bukan bersifat diskriminasi terhadap negara itu, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata seluruh dunia maklum bahawa negara ini tiada hubungn diplomatik dengan Israel dalam semua urusan termasuk bidang sukan.

"Apabila persekutuan sukan antarabangsa memberi kebenaran Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan antarabangsa, mereka sepatutnya maklum bahawa kita tidak benarkan atlet Israel mengambil bahagian," katanya kepada pemberita di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai di sini hari ini.

Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dalam kenyataan membatalkan kejohanan itu kerana kemungkinan beberapa negara, dilaporkan Israel, tidak dapat bertanding berikutan tidak dapat pengesahan visa dan kebenaran perjalanan oleh pihak berkuasa Malaysia.

WSF berkata pembatalan kejohanan itu turut dipengaruhi oleh varian Omicron yang sedang menular.

Terdahulu Ahmad Faizal merasmikan Kompleks MSN Nilai iaitu merupakan hab sukan baharu dilengkapi padang memanah 20 lorong, gelanggang tinju, muay thai, silat, dan gelanggang futsal dan akan beroperasi Januari depan.

Katanya kos keseluruhan kompleks sukan itu bernilai RM50 juta itu berperanan sebagai nilai tambah daripada segi fasiliti sukan yang mampu mendorong persatuan sukan kebangsaan melahirkan atlet terbaik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya kompleks sukan itu mempunyai keluasan kira-kira 2.42 hektar telah memulakan kerja pembinaan pada 1 Jun tahun lepas dan siap sepenuhnya mengikut jadual dan masa ditetapkan.

"Kompleks ini sudah bersedia menampung lebih 200 atlet di mana sebanyak 44 buah bilik asrama disediakan bagi kemudahan penginapan atlet yang bakal beroperasi pada Januari depan," katanya.

Beliau berkata kos pembinaan tersebut ditanggung oleh syarikat pemaju SkyWorld dengan kerjasama Majlis Sukan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya pembinaan kompleks tersebut bagi menggantikan Kompleks Sukan MSN Datuk Keramat yang diambil alih oleh DBKL dan SkyWorld.

-- BERNAMA