JAKARTA: Indonesia kekal berdaya tahan dan bersedia untuk mengharungi ketidaktentuan global yang semakin meningkat serta turun naik harga tenaga akibat konflik di Asia Barat, kata Presiden Prabowo Subianto pada Rabu.
Beliau berkata data dan laporan daripada para menteri menunjukkan bahawa walaupun cabaran tetap ada, negara berada dalam kedudukan yang stabil untuk menguruskannya.
Advertisement
Menurut beliau, buat masa ini konflik di Asia Barat telah memacu kenaikan harga tenaga, namun Indonesia kekal dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding kebanyakan negara lain.
“Berdasarkan data yang saya kaji dan laporan daripada menteri-menteri saya, keadaan kita agak selamat. Terdapat cabaran, tetapi kita mampu menghadapi dan mengatasinya,” katanya semasa taklimat bersama menteri Kabinet di Istana Presiden pada Rabu.
Prabowo berkata Indonesia telah mengharungi tekanan ekonomi dan geopolitik global sepanjang 18 bulan yang lepas, sekali gus menekankan keberkesanan kerajaan dalam menguruskan pembangunan melalui pencapaian yang boleh diukur di lapangan.
Beliau menegaskan bahawa risiko global, termasuk ketidaktentuan dalam pasaran tenaga, harus dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh daya tahan nasional, meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan reformasi.
Prabowo berkata sumber domestik Indonesia yang kuat dan kedudukan strategiknya meletakkan negara itu dalam kedudukan yang lebih baik berbanding banyak negara lain yang menghadapi tekanan luaran yang sama.
“Kita mesti percaya kepada kekuatan sendiri. Indonesia adalah sebuah negara yang besar, kaya dan berkuasa. Dari segi geopolitik, Indonesia sangat strategik dengan Selat Melaka, Selat Sunda dan Selat Makassar yang merupakan laluan global yang penting.
“Sekitar 70 peratus tenaga Asia Timur melalui perairan ini, ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan Indonesia… dalam bidang tenaga, kita mempunyai potensi besar, daripada arang batu serta sumber alternatif seperti ubi kayu dan jagung. Dalam tempoh dua hingga tiga tahun, kita akan menjadi jauh lebih kuat dalam sektor tenaga,” katanya.
Presiden berkata kerajaan akan terus melindungi sektor utama, termasuk mengekalkan subsidi bahan api untuk sebahagian besar penduduk, sambil memastikan keselamatan tenaga jangka panjang melalui pemelbagaian dan pengukuhan kapasiti domestik.
-- BERNAMA