SUKAN
Sony Norde menang tuntutan, KDA FC diperintah bayar RM353,000

Sony Norde semasa beraksi bersama KDA FC pada musim 2024. - Foto KDA FC
MAHKAMAH Sesyen Alor Setar memerintahkan Darulaman Football Club Sdn Bhd membayar RM353,426.50 kepada bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde susulan tunggakan gaji dan yuran pendaftaran yang tidak dijelaskan kepadanya.
Keputusan itu dibuat semalam selepas mahkamah mendapati kelab berkenaan gagal melunaskan gaji selama tujuh bulan kepada pemain berasal dari Haiti itu.
Kelab itu juga didapati tidak membayar yuran pendaftaran ketika beliau menyertai pasukan Sang Kenari pada musim Liga Super 2024.
Peguam Sony, Elfie Nieshaen berkata, pihaknya akan meneruskan pelaksanaan kehakiman sekiranya bayaran tidak dibuat dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan mahkamah.
Menurutnya, mahkamah turut membenarkan tuntutan Sony untuk memperoleh faedah sebanyak 10 peratus daripada jumlah tunggakan, selain lima peratus tambahan yang dijanjikan oleh pihak kelab kepadanya.
“Kes ini difailkan susulan keputusan yang telah dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun tiada maklum balas dokumentasi daripada pihak KDA FC.
"Aduan rasmi telah dibuat kepada FIFA pada Januari lalu dan kes ini akhirnya dibawa ke mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Bagaimanapun, keputusan tersebut hanya melibatkan Darulaman Football Club selaku entiti pengurusan kelab, manakala keputusan terhadap pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang dinamakan sebagai defendan kedua akan didengar pada 6 Oktober depan.
Sony yang pernah beraksi bersama Terengganu FC telah menyertai KDA FC bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan hijau kuning itu.
Namun, perjalanan kariernya di Kedah tidak berjalan lancar apabila kelab berdepan krisis kewangan serius sehingga terpaksa turun ke Liga A1 Semi-Pro musim ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami