KUALA LUMPUR: Pemain tengah skuad hoki lelaki negara, Mohammad Fitri Saari mengakui pasukan Speedy Tigers, 'tempang' susulan ketiadaan penyerang berbisa Faizal Saari untuk mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Jan ini.

Mohammad Fitri mengakui, jentera serangan dan penyudah pasukan negara yang dibimbing A. Arul Selvaraj, tumpul tanpa kehadiran Faizal yang juga abangnya.

"Rasa tempang, tak tahu nak cakap macam mana, ketiadaan dia terasa, tapi saya terima keputusan jurulatih," katanya ketika ditemui Bernama pada sesi latihan menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Minggu lepas, Arul mengumumkan Faizal tidak akan bersama 18 barisan pemain yang akan membawa cabaran negara dalam aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, berikutan kecederaan yang membelenggu pemain itu termasuk masalah gout dialaminya.

Dalam pada itu, Mohammad Fitri berkata, beliau sudah kembali cergas dan bersedia mempamerkan aksi terbaik di Oman, setelah tidak bersama pasukan akibat kecederaan lutut yang dialami semasa persediaan ke Sukan Asia Hangzhou 2022, pada September tahun lepas.

"Saya sudah bersedia 100 peratus, dan saya harap kita boleh cipta sejarah di Oman, sebab kita sudah lama tidak beraksi di Sukan Olimpik jadi saya mengharapkan satu keajaiban untuk pasukan, jadi ini ialah misi hidup mati kita, dan peluang terakhir untuk ke Olimpik," katanya.

Kali terakhir skuad hoki negara layak beraksi di Sukan Olimpik ialah di Sydney pada 2000.

Sementara itu, kapten pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata, pasukan sedia ada terdiri daripada kombinasi mantap, apabila hampir kesemua tonggak utama pasukan yang dilaporkan cedera sebelum ini sudah kembali bersama Speedy Tigers.

"Semua pemain sedia ada tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing, pemain yang sebelum ini tiada semasa Sukan Asia (di Hangzhou) dan pemain utama yang cedera sudah kembali dan itu yang menguatkan pasukan untuk kali ini," katanya.

Di Oman, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama China, Great Britain dan Pakistan, manakala Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile, diletakkan dalam Kumpulan B.

Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024 di Muscat merupakan pentas terakhir bagi semua pasukan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya tertinggi dunia itu. - BERNAMA