Stadium baharu skuad Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dilaporkan bakal dibina di Nusajaya, Johor dijangka dapat disiapkan dalam tempoh setahun setengah.

Pemilik kelab JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, baginda dimaklumkan mengenai perkara itu oleh sebuah syarikat terkemuka yang bakal membina stadium berkenaan.

Baginda menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, turut menyatakan majlis pecah tanah stadium baharu itu akan diadakan pada 30 Januari ini bersama penyokong skuad Harimau Selatan yang disifatkan baginda sebahagian daripada kunci kejayaan kelab berkenaan selama ini.

"Alhamdulillah, JDT kini berada di kelasnya tersendiri dan saya amat bersyukur atas rezeki yang diberikan kepada kami. Allah Peliharakan Sultan, Kepada Allah Kami Berserah," titah baginda.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut berterima kasih kepada ayahanda baginda, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan mengurniakan tanah bagi mewujudkan Bandar Sukan JDT, selain turut memberi sejumlah dana kepada skuad Harimau Selatan untuk pembinaan stadium baharu.

Semalam, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan mengurniakan tanah seluas 28 hektar pemberian kerajaan negeri untuk pembinaan Bandar Sukan JDT yang bakal menempatkan pelbagai jenis sukan di bawah nama JDT, selain beberapa kemudahan lain seperti hotel, apartment dan pusat membeli-belah.

Baginda turut berkenan memberi sejumlah dana kepada pasukan JDT untuk membiayai pembinaan stadium baharu JDT.

Pada 10 Januari lepas, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan memberi dana RM50 juta kepada JDT kerana gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan penting menyatupadukan Bangsa Johor serta mengharumkan nama Johor di persada dunia.