KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Arul Selvaraj, bangga dengan semangat juang tinggi pemain untuk mencipta sejarah membawa pulang emas sulung Sukan Asia bagi edisi 2022 di Hangzhou, China.

Katanya, setiap pemain Speedy Tigers bersepakat menamatkan penantian berada di kedudukan podium pada Sukan Asia yang belum pernah dicapai negara sejak membuat penampilan pertama pada edisi 1958 di Tokyo.

"Saya bangga kerana mereka (pemain) telah bercakap secara terbuka kepada media bahawa mahu memenangi emas. Mereka percaya mereka boleh menang dan itu membuatkan saya lebih tenang.

"Apabila berborak dengan pemain tak pernah sekalipun mereka fikir tentang kelayakan Olimpik cuma cerita satu sahaja iaitu Sukan Asia (menang emas). Bagi diri saya, saya mahu membawa pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya selepas sesi latihan fasa akhir menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, hari ini.

Pada edisi Sukan Asia kali ini, Malaysia diundi bersama tuan rumah, China, Indonesia, Korea Selatan, Oman dan Thailand dalam Kumpulan B manakala juara bertahan, Jepun, diundi bersama India, Bangladesh, Pakistan, Singapura dan Uzbekistan bagi saingan Kumpulan A.

Speedy Tigers akan membuka tirai kempen menentang Thailand pada 24 Sept diikuti Oman (26 Sept), Indonesia (28 Sept), Korea Selatan (30 Sept) dan mengakhiri saingan Kumpulan B berdepan China pada 2 Okt ini.

Hanya juara dan naib juara kumpulan sahaja layak ke separuh akhir. Pemenang pingat emas pula layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Mengenai saingan kumpulan di Hangzhou, Arul berkata amat penting bagi skuad negara menampilkan aksi garang pada tiga perlawanan pertama dalam usaha membina momentum terbaik untuk berdepan lawan yang lebih mencabar pada baki perlawanan seterusnya.

Justeru, beliau menuntut pemain memanfaatkan sepenuhnya pukulan sudut penalti untuk menjaringkan sebanyak gol yang boleh dalam tiga perlawanan awal memandangkan kesemua mereka dijangka bermain dengan corak permainan defensif.

"Pendekatan saya ialah setiap perlawanan adalah aksi final. Di atas kertas, tiga perlawanan nampak mudah tetapi kalau tak bersedia daripada segi mental untuk menang...cabaran awal mungkin sukar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak mengumumkan seramai 18 pemain masing-masing bagi skuad lelaki dan wanita bakal menggalas tanggungjawab negara di pentas temasya sukan empat tahun sekali tersebut.

Katanya, kedua-dua skuad negara masing-masing akan mempertaruhkan tujuh pemain yang berada dalam pasukan kebangsaan ketika saingan edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Bagi pasukan lelaki, Najmi berkata mereka terpaksa melupakan khidmat tiga pemain iaitu Mohd Fitri Saari, Muhammad Syafiq Hassan dan Muhammad Shahril Sabah susulan kecederaan.

Dalam pada itu, beliau berkata penyerang Hanis Nadiah Onn kembali dipanggil menyarung jersi kebangsaan skuad wanita selepas menjalani penggantungan awal tahun ini susulan komen berbaur perkauman di media sosial manakala dua pemain iaitu Siti Nur Irdina Mohd Nor dan penjaga go,l Nur Hazlinda Zainal Abidin bakal mengumpul caps pertama skuad senior.

Malaysian Tigress diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.

Pasukan bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu bakal berdepan Hong Kong dalam perlawanan pertama kumpulan (25 Sept) diikuti India (29 Sept), Singapura (1 Okt) dan Korea Selatan pada 3 Okt ini.

Berikut merupakan senarai akhir 18 pemain bagi skuad lelaki dan wanita kebangsaan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadual berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini:


Skuad Lelaki:


NamaPosisi
Muhammad Hafizuddin OthmanPenjaga gol
Mohd Zaimi Mat DerisPenjaga gol
Muhammad Razie Abd RahimPertahanan
Muhammad Marhan Mohd JalilPertahanan
Muhammad Najmi Farizal JazlanPertahanan
Muhammad Aminuddin Mohd ZainPertahanan
Muhammad Amirul Hamizan AzaharPertahanan
Muhajir Abdu RaufPertahanan
Muhamad Ramadan RosliPertahanan
Faiz Helmi JaliTengah
Meor Muhammad Azuan HassanTengah
Nik Muhammad Aiman Nik RozemiTengah
Muhammad Azrai Aizad Abu KamalTengah
Abdul Khaliq HamirinTengah
Shello SilveriusPenyerang
Muhammad Firhan AshaariPenyerang
Faizal SaariPenyerang
Mohamad Ashran HamsaniPenyerang


Skuad Wanita:


NamaPosisi
Mashitah Abdul KhalidPenjaga gol
Nur Hazlinda Zainal AbidinPenjaga gol
Nuraini Abdul RashidPertahanan
Raja Norsharina Raja ShabuddinPertahanan
Khairunnisa Ayuni Mohd SharuddinPertahanan
Dayang Nuramirah Abang MahadiniPertahanan
Nurul Fatin Fatiah AzmanPertahanan
Juliani Mohamad DinTengah
Wan Norfaiezah SaiutiTengah
Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek FuadTengah
Nur Insyirah EffarizalTengah
Siti Nur Irdina Mohd NorTengah
Fatin Shafika Mahd SukriPenyerang
Hanis Nadiah OnnPenyerang
Nuramirah Shakirah ZulkifliPenyerang
Siti Zulaikha HusainPenyerang
Siti Nur Arfah Mohd NorPenyerang
Nur Afiqah Syahzani AnuarPenyerang




-- BERNAMA