MOHAMED Salah sedang mencari jalan untuk mewakili Mesir dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, bermula 23 Julai hingga Ogos depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Mesir, Ahmed Megahed, mendedahkan bintang Liverpool itu sedia mendesak kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan untuk melepaskannya ke temasya terbabit dalam kesibukan persiapan musim depan.

Selepas menamatkan musim lalu tanpa trofi, The Reds akan membuka kempen bertandang Norwich City pada 14 Ogos depan.

"Saya tidak mahu mengatakan adalah bahawa mustahil Salah menyertai Sukan Olimpik tetapi ia sukar," kata Megahed kepada media Mesir, ONTimeSport.

"Salah bersetuju untuk menyertai pasukan Mesir ke Sukan Olimpik ketika kem persiapan akhir. Kami sempat menghubungi Liverpool untuk membenarkan Salah menyertai Sukan Olimpik.

"Liverpool menolak permintaan itu kerana mereka tidak mahu kehilangan pemain tersebut pada awal musim termasuk Piala Negara-Negara Afrika, Januari depan, yang akan menafikan penglibatannya dalam perlawanan EPL.

"Kami terus berbincang dengan Salah dan dia memberitahu bahawa dia akan membuat percubaan baru dengan kakitangan teknikal kelabnya dalam usaha menyelesaikan masalah itu.

"Dan dia akan mencari jalan dalam masa dua hari akan datang."

Penyerang berusia 29 tahun itu pernah mengambil bahagian dalam edisi London 2012 dengan mencetak gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan ketika bertemu Brazil, New Zealand dan Belarus sebelum Mesir disingkirkan Jepun.

Mereka diundi bersama juara dua kali, Argentina, pemenang 1992, Sepanyol, dan Australia dalam Kumpulan C dalam kempen kali ini.