Sukan SEA 2025: Nafuzi mahu tiga mata lawan Laos

Nafuzi menegaskan Harimau Muda perlu mempamerkan prestasi yang terbaik kerana perlawanan itu tidak boleh dianggap sebagai satu tugas yang mudah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Nafuzi Zain menyeru pemainnya memanfaatkan segala peluang bagi mengutip tiga mata penuh apabila menentang Laos pada aksi Kumpulan B Sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok esok.
Ringkasan AI
- Ketua jurulatih B-23, Nafuzi Zain, menggesa pemainnya memberikan tumpuan maksimum dalam perlawanan menentang Laos di Sukan SEA 2025, memandang serius kepentingan kemenangan untuk meningkatkan semangat pasukan.
- Nafuzi menegaskan bahawa prestasi terbaik diperlukan berikutan kegagalan pada kejohanan terdahulu yang menyebabkan pasukan sukar melangkah jauh, dengan menekankan bahawa kemenangan pertama amat penting.
- Tiga pemain utama B-23, Ubaidullah Shamsul Fazili, Alif Izwan Yuslan, dan Fergus Tierney tidak akan beraksi menentang Laos, manakala Nafuzi menyiapkan strategi terbaik bagi mencapai tiga mata dalam perlawanan tersebut.
"Kalau tengok dua kejohanan sebelum ini (Piala B-23 ASEAN dan Kelayakan Piala Asia B-23 2026), kita kalah awal dan itu menyebabkan pasukan negara sukar untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Walau macam mana sekalipun, kita kena bagi aksi yang terbaik untuk menang menentang Laos nanti," katanya menerusi video yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Sementara itu, Nafuzi berkata tiga pemain utama skuad B-23, iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili, Alif Izwan Yuslan dan Fergus Tierney tidak akan diturunkan menentang Laos selepas tidak mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing.
Jurulatih berusia 46 tahun itu berkata beliau akan melakukan persiapan serta menyusun strategi terbaik berdasarkan pemain yang ada dalam misi meraih tiga mata pada perlawanan itu.
Dalam aksi sulung Kumpulan B Rabu lepas, Laos telah memaksa Vietnam berhempas pulas sebelum kalah tipis 1-2 kepada penyandang pingat emas Sukan SEA itu.
Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan satu pasukan kedua terbaik layak ke separuh akhir.
Untuk berita terkini Sukan SEA Thailand 2025, layari https://seagames.bernama.com.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


