Sukan SEA 2025: Skuad ragbi dapat suntikan semangat bawa pulang emas

Amir Amri (tengah) bergambar bersama pemain Skuad Bunga Raya 7s yang akan beraksi di Sukan Sea Thailand 2025 pada majlis pengumuman senarai pemain skuad itu di Hong Leong Yamaha Motor, Kuala Lumpur, 8 Dis 2025. --fotoBERNAMA
SUNGAI BULOH: Skuad ragbi negara meraih tonik istimewa menjelang Sukan SEA 2025 apabila dijanjikan insentif bagi pasukan yang berjaya membawa pulang pingat emas.
Ringkasan AI
- Skuad ragbi negara diberi insentif istimewa menjelang Sukan SEA 2025 bagi pasukan yang berjaya mendapat pingat emas, walaupun jumlah insentif tidak didedahkan.
- Persiapan pasukan ragbi lelaki mengejar pingat emas dipandang realistik dengan semangat dan komitmen yang tinggi, sementara pasukan wanita dijangka dapat pingat gangsa.
- Malaysia meraih emas acara ragbi 7s pada Sukan SEA 2017 dan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita bersedia untuk bersaing pada Sukan SEA Bangkok yang bermula 9 hingga 21 Disember ini.
"Jadi kita memang akan menyediakan insentif kemenangan sekiranya dapat pingat emas bagi kedua-dua pasukan tapi jumlah itu saya tak mahu umumkan lagi," katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan tujuh sebelah (7s), di sini semalam.
Mengenai persiapan negara, beliau berkata sasaran pingat emas bagi pasukan lelaki dilihat realistik berdasarkan komitmen serta semangat pemain yang mahu merampas kembali pingat yang pernah dimenangi pada edisi 2017.
"Dengan semangat yang ada pada pemain untuk berjuang, saya cukup yakin bahawa kejutan akan berlaku di Bangkok nanti," katanya.
Bagi pasukan wanita pula, Amir berkata skuad bimbingan Mohamad Faiz Samsukhidir itu mampu menjelmakan pingat gangsa, kerana dijangka berdepan cabaran sengit pasukan tuan rumah, Thailand.
"Kita tahu pasukan Thailand sudah mencapai antara pasukan terbaik Asia. Pasukan wanita Filipina dan Singapura juga sedang melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Sukan SEA kali ini," katanya.
Untuk rekod, Malaysia meraih emas acara ragbi 7s pada edisi 2017 di Kuala Lumpur menerusi pasukan lelaki.
Ragbi 7s lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut format liga sepusingan dengan pasukan lelaki membuka kempen menentang Singapura dan Filipina pada 13 Dis, sebelum berdepan Laos pada 14 Dis.
Pasukan wanita pula dijadualkan bertemu Singapura dan Filipina pada 13 Dis, diikuti Indonesia dan Thailand pada 14 Dis.
Sukan SEA berlangsung pada 9 hingga 21 Dis ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


