HANOI: Skuad berbasikal MTB kebangsaan mencipta pencapaian bersejarah apabila merangkul pingat emas pertama acara berganti-ganti rentas desa campuran pada Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di wilayah Hoa Binh, Vietnam, hari ini.

Ia merupakan emas pertama Malaysia dalam sukan itu sepanjang penganjuran temasya Sukan SEA dengan pencapaian terbaik sebelum itu adalah pingat perak pada edisi 2011 yang menjadi pingat terakhir diraih kem berbasikal MTB negara.

Pada saingan final hari ini, skuad kebangsaan dibarisi Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon merekodkan masa 1 jam, 23 minit dan 14 saat untuk muncul juara sekali gus menghadiahkan Malaysia emas ke-20 pada temasya sukan dwitahunan itu.

Pasukan tuan rumah yang diwakili Van Linh Dinh, Thi Nhu Quynh Dinh, Van Nhat Bui dan Thi Thom Ca terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat masa 1'23.48s.

Pingat gangsa menjadi milik gandingan Phunsiri Sirimongkhon, Warinthorn Phetpraphan, Supuksorn Nuntana dan Keerati Sukprasart dari Thailand dengan masa 1'24.54s.

Pengurus pasukan, Firdaus Arshad menyifatkan kejayaan itu sesuatu yang menakjubkan apabila skuad kebangsaan yang dilabel sebagai pasukan 'underdog' berjaya mencipta kejutan.

Katanya pencapaian hari ini dipengaruhi semangat kem negara yang sedang membara rentetan kejayaan membanggakan Nur Assyira dan Natahsya selepas masing-masing menghadiahkan pingat perak dan gangsa dalam acara Merentas Desa di venue sama, semalam.

"Bagi saya ini satu kejayaan yang luar biasa, tetapi suntikan semangat itu daripada acara semalam apabila kami datang dengan penetapan minda merendah diri tetapi yakin untuk mencipta kejutan raih pingat dalam acara individu mahupun berpasukan.

"Kami sebenarnya sasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat pada Sukan SEA kali ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kejayaan meraih masing-masing satu perak dan gangsa semalam menamatkan kemarau 11 tahun kem berbasikal MTB negara pada temasya Sukan SEA.

Pada edisi 2011 di Indonesia, atlet wanita Masziyaton Mohd Radzi menghadiahkan perak menerusi acara Merentas Desa sekali gus memperbaiki pencapaiannya pada edisi 2009 di Laos apabila membawa pulang gangsa.

-- BERNAMA