PETALING JAYA: Kongress Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak akan menampilkan skuad boling utama negara ke Sukan SEA yang akan datang, tetapi sebaliknya membawa pasukan kedua, beraksi untuk memenangi pingat di Hanoi, Vietnam, Mei ini.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei itu, akan menjadi medan ujian untuk pasukan kedua yang terdiri daripada 12 pemain - lapan pemain dengan empat lagi sebagai simpanan - untuk menyertai skuad elit akan datang.

Daripada 12 pemain berusia antara 20-26 tahun itu, Maradona berkata masing-masing empat akan bermain dalam kategori lelaki dan wanita, dengan dua orang lagi masing-masing sebagai simpanan.

"Dengan keadaan COVID-19, kita kehilangan pemain elit kerana bersara seperti Shalin Zulkifli, Syaidatul Afifah Badrul Hamnidi dan Adrian Ang.

"Ia boleh menjadi satu tempoh peralihan dan kita mahukan pemain muda untuk meningkat secepat mungkin dan cara untuk lakukannya ialah dengan memberikan tugas yang penting untuk mereka berada setaraf pemain elit, dan Sukan SEA adalah tempat pertama mereka perlu tunjukkan kepada kami (MTBC) bahawa mereka layak berada dalam skuad utama," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Kejohanan Boling Kebangsaan Malaysia ke-44 tahun 2022 di sini semalam.

Maradona juga berharap Hanoi akan menjadi medan pertama untuk MTBC menghantar skuad kedua pada edisi temasya dwitahunan itu, jika mereka mendapat kebenaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk melakukannya.

Beliau berkata ini kerana kata putus adalah sentiasa bergantung kepada MSN dan MOM mengenai siapa yang akan mewakili negara dalam apa-apa temasya, sama ada pemain elit atau skaud kedua, dan beliau gembira kerana kedua-dua pihak tersebut, memberikan kebenaran untuk skuad kedua ke Hanoi.

"Kami sentiasa memberikan keputusan di mana-mana temasya... kami sentiasa mempunyai pelan peralihan untuk pemain boling meningkat, walaupun kami menghantar pasukan muda, dan kami harap trend itu akan berterusan pada keputusan selepas ini," katanya.

Dengan Singapura akan menghantar pemain utama mereka, dan mereka merupakan satu pasukan yang perlu dikalahkan di Vietnam, Maradona berkata pemain boling negara juga perlu melihat pemain dari negara lain seperti Indonesia dan Thailand.

Pada Sukan SEA di Manila, Filipina tiga tahun lepas, Malaysia secara keseluruhan memenangi tujuh pingat dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

Untuk pemain elit, Maradona berkata mereka sedang bersedia untuk bertanding pada tiga kejohanan besar iaitu Kejohanan Dunia 2022 di Amerika Syarikat diikuti Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong dengan kedua-dua kejohanan berlangsung pada Julai dan Terbuka Singapura pada Disember.

"Daripada tiga kejohanan itu, yang paling penting untuk kami ialah mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Tenpin Boling Asia," katanya.

Pada kejohanan terakhir di Kuwait pada 2019, Malaysia menjadi juara keseluruhan, iaitu keputusan terbaik mereka pada kejohanan itu, dengan membawa pulang enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa.



Berikut senarai 12 pemain akan mewakili Malaysia di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam Mei ini.

Lelaki:

Muhd Hafiz Zainuddin, Muhd Syazirol Shamsudin, Nevern Netaneel Marcellinus, Shahrukh Amin Zulkifli, Akmal Qayyim Mohd Ali Hanifah dan Muhd Shafiy Zaim Noor Azam.

Wanita:

Nur Syazwani Sahar, Gillian Lim Siew Giok, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Faten Najihah Ahmad Faik, Nerosha Keligit Thiagarajan, Puteri Nurul Dini Mohd Faudzi.

-- BERNAMA