PHNOM PENH: Skuad hoki lelaki dan wanita negara memulakan kempen Sukan SEA 2023 penuh bergaya apabila mencatat kemenangan besar ke atas lawan masing-masing di Padang Hoki Morodok di sini hari ini.

Dalam saingan yang berlangsung secara pusingan round robin itu, pasukan hoki lelaki tidak menghadapi masalah berdepan tuan rumah, Kemboja dalam perlawanan pembukaan apabila mencatat kemenangan 6-0.

Malaysia tidak menunggu lama untuk mendahului perlawanan menerusi gol padang Muhammad Najib Abu Hassan pada minit keempat, sebelum Muhammad Amirul Hamizan Azahar menggandakan kedudukan pada minit ke-19 dan selang dua minit giliran Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar pula mencetak gol.

Skuad negara kemudian menambah tiga lagi gol menerusi Alfarico Lance Liau Jr pada minit ke-45, Shahmie Irfan Suhaimi (minit ke-55) dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari (minit ke-60).

Ketua Jurulatih pasukan hoki lelaki kebangsaan, Muhamad Amin Rahim berkata beliau gembira dengan kemenangan itu, namun pemain kelihatan gugup dan hilang fokus terutama pada dua suku pertama permainan.

"Mungkin kerana faktor cuaca dan majoriti pemain muda. Ini pertama kali mereka beraksi di temasya sukan sebegini. Namun pada dua suku seterusnya, pemain nampak selesa dan tenang bermain serta berjaya mencatat kemenangan tanpa bolos," katanya.

Sementara itu, skuad wanita negara turut membelasah pasukan tuan rumah dengan kemenangan 8-1.

Gol Malaysia dijaringkan Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit kesembilan, Siti Nur Arfah Mohd Nor (ke-11 dan 20), Nuraini Abdul Rashid (ke-13 dan 29), Nuramirah Shakirah Zulkifli (ke-28), Fatin Shafikah Mahd Sukri (ke-36) dan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (ke-49).

Gol sagu hati Kemboja dijaringkan oleh Duch Chansovatey pada minit ke-14.

Ketua Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata pemain terlalu teruja untuk mencari gol dan sedikit kelekaan di bahagian pertahanan semasa pasukan lawan membuat serangan balas menyebabkan pasukannya melepaskan satu gol.

"Untuk pertemuan dengan Singapura pada Jumaat, saya mahu pemain menaikkan lagi intensiti permainan serta lebih berdisiplin terutama ketika penguasaan bola kerana kami mahu mencari kemenangan selesa," katanya.

-- BERNAMA