KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (Mastaf) mengumumkan pembubabaran bandan induk itu berkuat kuasa semalam, kata presidennya Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Beliau memaklumkan keputusan itu sudah mula dibincangkan Jawatankuasa Tertinggi Mastaf pada 8 Dis lalu dan bukanlah hanya semata-mata berpandukan keputusan Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) menyatakan hasrat menganggotai semula Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), kelmarin.

"Sebenarnya rundingan mengenai pembubaran ini sudah dimulai pada 8 Dis lalu, yang diinisiatifkan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) bersama dengan pihak PSM untuk bergabung (Mastaf, PSM), di mana pada mulanya semua berjalan lancar.

"Namun, kita menyedari perbincangan itu (PSM) tidak ikhlas di mana mereka tidak menunaikan janji dalam perbincangan itu. Jadi kita pilih jalan terbaik iaitu tidak dapat maju ke depan (bubar)," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Katanya, keputusan itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara demi kelangsungan pembangunan sukan berkenaan serta menjaga kebajikan atlet.

Suhaili berkata empat badan induk negeri yang sebelum ini bernaung di bawah Mastaf iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Sarawak akan menentukan sendiri sekiranya mereka mahu bernaung di bawah PSM.

"Keputusan bernaung di bawah PSM terserah pada mereka...macam saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Persatuan Sepak Takraw Labuan untuk membuat keputusan, dan besar kemungkinan saya turut akan mengundur diri dari menerajui Persatuan Sepak Takraw Labuan," katanya.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf, pada 24 Feb tahun lepas.

Mastaf pula merupakan badan induk sepak takraw negara yang sah selepas diiktiraf sebagai ahli baharu Astaf Mac lepas dan turut diterima menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) pada April.

Terdahulu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan menerima pemohonan PSTPs untuk menyertai semula badan induk itu dan akan disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang akan diadakan tidak lama lagi.

-- BERNAMA