Tengku Zafrul cadang pemain lebih selektif pilih kejohanan

Tengku Zafrul berkata akan membangkitkan cadangan bagi memastikan BAM terbuka dan lebih telus dalam pengurusan kewangan termasuk bayaran kontrak kepada pemain, gaji, bonus dan kos menyertai kejohanan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mencadangkan supaya pemain lebih selektif dalam menyertai kejohanan pada mesyuarat sulung majlis badan induk sukan itu bagi 2026, esok.
Ringkasan AI
- Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mencadangkan pemain badminton menjadi lebih selektif dalam menyertai kejohanan, berdasarkan statistik kejohanan tahun lepas yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan, khususnya dalam saingan Super 1000 BWF.
- Prestasi terbaik wakil negara pada kejohanan Super 1000 musim 2025 adalah muncul naib juara Terbuka China dan Terbuka Indonesia melalui pasangan berbeza.
- BAM akan membangkitkan cadangan bagi pengurusan kewangan yang lebih telus termasuk bayaran kepada pemain, gaji, bonus, dan kos penyertaan kejohanan untuk memastikan kelestarian kewangan dan mengkomersialkan badminton dengan lebih efektif.
"Jika semua kejohanan mereka masuk dan kalah (itu) tidak okay. Kita perlu faham zaman Datuk Seri Lee Chong Wei dan jaguh China Lin Dan mereka juga tidak masuk semua kejohanan. Jadi kita perlu lebih selektif," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat media Terbuka Malaysia 2026 di sini hari ini.
Pencapaian terbaik wakil negara pada kejohanan bertaraf Super 1000 pada musim 2025 ialah muncul naib juara Terbuka China menerusi juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan naib juara Terbuka Indonesia menerusi gandingan Pearly Tan-M. Thinaah.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata akan membangkitkan cadangan bagi memastikan BAM terbuka dan lebih telus dalam pengurusan kewangan termasuk bayaran kontrak kepada pemain, gaji, bonus dan kos menyertai kejohanan.
"Kita akan beritahu berapa mereka dapat dan kos untuk setiap pemain supaya penaja juga tahu. Saya mahu jadi telus supaya orang ramai tahu. Walaupun ia akan memberi tekanan kepada pemain, tetapi pada saya mana sahaja di dunia mereka mendedahkannya," katanya.
Beliau berkata mesyuarat esok turut dijangka membincangkan kelestarian kewangan badan induk sukan itu termasuk kepentingan mengkomersialkan badminton dengan lebih berkesan dan menjana pendapatan menerusi aset sedia ada di samping memastikan sebahagian hasil tersebut disalurkan semula kepada pembangunan akar umbi.
Terbuka Malaysia 2026 yang bermula Selasa lepas berlangsung sehingga Ahad ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


