ANETT Kontaveit menjulang trofi Kejohanan Tenis Terbuka Wanita St Petersburg selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain nombor tujuh dunia, Maria Sakkari, awal pagi tadi.

Pemain Estonia itu, yang berada di ranking kesembilan dunia, meraih gelaran keenam sepanjang karier perseorangannya selepas merakamkan kemenangan 5-7, 7-6, 7-5 ke atas lawan dari Greece berkenaan.

Kemenangan itu juga bermakna Kontaveit kini mendahului rekod pertemuan di antara dua pilihan utama berkenaan dengan memenangi tujuh daripada keseluruhan 13 pertemuan dan melebarkan rekod kemenangannya dalam acara dalam dewan kepada 20 perlawanan.

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak datang dengan mudah, di mana Kontaveit perlu melalui perlawanan panjang selama tiga jam sebelum mengesahkan gelaran pertamanya bagi tahun ini.