KUALA LUMPUR: Farah Ann Abdul Hadi masih tersenarai dalam rancangan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) untuk Sukan SEA Hanoi pada 12-23 Mei ini, meskipun terdapat khabar angin tentang persaraan ratu gimnastik negara itu.

Setiausaha Kehormat MGF Afrita Ariany Nasril berkata, pihaknya ada mendengar desas-desus tersebut namun sehingga kini belum menerima surat persaraan daripada atlet berusia 27 tahun itu.

"Kami hanya mengetahui mengenai rancangan beliau untuk bersara semasa mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama jurulatihnya (Ng Shu Wai) dan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini. (Menurut jurulatihnya) beliau dikatakan akan bersara. Malah, Farah juga memaklumkan (perkara itu) kepada beberapa orang yang rapat dengannya.

"Saya masih menunggu hitam putih. Bagaimanapun, beliau masih dalam senarai kami untuk Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Semalam, ketua jurulatih artistik wanita kebangsaan Shu Wai memberi gambaran bahawa Farah Ann telah berhenti berlatih bersama pasukan negara selama dua minggu dan berkemungkinan besar akan bersara.

Afrita Ariany berkata, Farah Ann mungkin menimbangkan untuk bersara kerana usia atau kecederaan, namun MGF sedia berbincang sekiranya beliau memerlukan bantuan.

Sementara itu, beliau berkata persekutuan itu menyasarkan empat pingat emas untuk Sukan SEA termasuk daripada acara berpasukan.

"Pastinya dengan kehadiran Farah kami mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi acara berpasukan, tetapi tanpa beliau pun kami masih berpeluang menang dalam aparatus lain (acara individu) bagi mencapai sasaran kami. Sama ada bersama Farah atau tidak, kami tetap akan bertanding dalam Sukan SEA," tambahnya.

Farah Ann membuat penampilan sulung Olimpik di Tokyo tahun lepas dengan menamatkan saingan pada tempat ke-68 daripada 85 gimnas dalam acara all-around wanita.

Dalam pada itu, Shu Wai enggan mengulas hal berkenaan ketika dihubungi Bernama.


Skuad Sukan SEA:


Artistik lelaki: Tan Fu Jie, Muhammad Sharul Aimy, Ng Chun Chen, Teoh Chuen Feng, Luqman Al Hafiz Zulfa, Zul Bahrin Mat Asri.

Artistik wanita: Tan Ing Yueh, Rachel Yeoh Li Wen, Geanie Ng Ee Ling, Zarith Imaan Khalid, Farah Ann Abdul Hadi.

Gimrama individu: Koi Sie Yan, Izzah Amzan, Ng Joe Ee, Lai Yun Jo.

Gimrama latihan berkumpulan: Shak Yuki, Ng Jia Wen, Ashley Lim Xin Yi, Maia Ong Xiao Han, Jingle Shak Qi, Yap Yi Tung.


-- BERNAMA