SPORTS
Tiada tekanan buat Tze Yong - Jonassen

Setelah lebih setahun berehat susulan pembedahan belakang, Tze Yong kembali ke gelanggang pada BAC namun terkandas di pusingan awal apabila tewas kepada Kunlavut Vitidsarn 9-21, 12-21. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan perseorangan lelaki negara Kenneth Jonassen tidak mahu meletakkan sebarang tekanan terhadap Ng Tze Yong yang baru saja kembali ke pentas saingan antarabangsa selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Beliau berkata buat masa ini fokus utama pemain berusia 24 tahun itu bukanlah untuk mengejar keputusan segera, tetapi memberikan tumpuan kepada proses pemulihan secara berperingkat bagi mencapai tahap kecergasan optimum.
"Setelah aksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan kini di Terbuka Taiwan, ia merupakan satu perkembangan positif. Bagi kami perkara ini dilihat sebagai proses jangka panjang.
"Kami mengambil pendekatan dari satu kejohanan ke satu kejohanan, mempelajari perkara baharu dan perlahan-lahan menyesuaikan diri semula dengan rentak pertandingan. Saya gembira melihat Tze Yong berikan segalanya (di Terbuka Taiwan, pada Rabu)," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Jumaat.Menurut Jonassen, pemain kelahiran Johor itu telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan berharap Tze Yong dapat menikmati setiap kejohananan disertainya sambil terus berusaha mencapai prestasi terbaiknya.
"Fokus utama adalah untuk belajar dari setiap kejohanan, menilai aspek perlu diperbaiki dan membina kemajuan berdasarkan perancangan jangka panjang ditetapkan kepadanya. Jadi, kami tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan," katanya.
Setelah lebih setahun berehat susulan pembedahan belakang, Tze Yong kembali ke gelanggang pada BAC namun terkandas di pusingan awal apabila tewas kepada Kunlavut Vitidsarn 9-21, 12-21.
Nasib sama menimpa Tze Yong pada Terbuka Taiwan apabila tersingkir di pusingan pertama, kalah kepada pemain di ranking ke-71 dunia Wang Po Wei.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami