KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadikan tiga pertandingan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya dan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) sebagai fokus utama badan induk itu tahun depan.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata dua pertandingan mustahak skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon adalah Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan serta pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Beliau berkata antara kedua-dua itu, pusingan kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia yang terpenting kerana Malaysia menyasarkan layak ke pusingan ketiga kelayakan buat julung kali sekali gus mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027 serta semakin hampir dalam perjalanan mencapai impian beraksi di Piala Dunia.

"Paling penting kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 kita layak secara merit ke Arab Saudi (tuan rumah Piala Asia 2027)...saya kata kepada Kim Pan Gon pasukan perlu layak seawal mungkin, tak boleh tunggu sehingga saat akhir," katanya baru-baru ini.

Ketika ini, Malaysia mendahului saingan Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dengan mengumpul enam mata selepas menundukkan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini dan melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Taiwan di Taipei, bulan lepas.

Malaysia akan meneruskan saingan kumpulan bertemu pasukan pilihan Oman di Muscat dan melayan kunjungan pasukan ke-74 dunia itu di sini masing-masing pada Mac depan, diikuti Kyrgyzstan di Bishkek dan berdepan Taiwan pada aksi terakhir di sini, yang berlangsung pada Jun.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat di Piala Asia 2027.

Sementara itu, Hamidin berkata bagi skuad B-23 pula, anak buah Juan Torres Garrido dijadual mengharungi kempen Piala Asia B-23 di Qatar, April depan yang turut menawarkan tiga slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kita tahu bukan senang untuk layak ke Olimpik, hanya tiga pasukan yang akan layak sudah tentunya Korea Selatan dan Jepun antara pilihan berdasarkan statistik semasa," kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu.

Menyedari cabaran hebat dalam ketiga-tiga pertandingan itu, Hamidin berkata FAM akan berusaha semaksimumnya untuk membantu dua skuad kebangsaan berkenaan mencapai sasaran masing-masing.

"Kita kena habis-habisan untuk pasukan kebangsaan dan B-23, kalau dapat pendedahan pergi ke luar negara lagi baik terutama untuk skuad B-23 supaya dapat berlawan pasukan yang lebih bagus, tetapi ia menelan perbelanjaan yang tinggi," kata Hamidin.

Mengulas lanjut, beliau berkata FAM turut akan memberikan tumpuan kepada kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2024 yang dijadual berlangsung pada hujung tahun selain usaha memperkasakan bidang futsal, pasukan bola sepak wanita dan program-program di bawah badan induk itu.

-- BERNAMA