Tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan satu memorandum memohon maaf kepada kerajaan Vietnam atas insiden penyokong Vietnam diserang pada saingan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam, Ahad lepas.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh wakil NGO daripada Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) kepada wakil Kedutaan Vietnam, Tran Quang Huy di Kedutaan Vietnam di sini.

Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah berkata pihaknya mengutuk tindakan penyokong pasukan bola sepak negara yang terlalu mengikut perasaan dan mengakibatkan kecederaan kepada penyokong Vietnam.

"Mereka tidak sepatutnya mencetuskan huru-hara kerana ia mencerminkan sifat negatif rakyat Malaysia, walaupun hanya segelintir sahaja yang terlibat dalam insiden tersebut.

"Melalui memorandum ini, kami harap kerajaan Vietnam dapat memaafkan tindak-tanduk penyokong negara dan tidak akan memanjangkan perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Beliau juga berharap insiden tersebut tidak akan berulang dan kerajaan Vietnam dapat menjaga keselamatan penyokong serta pemain pasukan Malaysia di Vietnam ketika berlangsungnya perlawanan antara Malaysia dengan Vietnam malam ini.