SUKAN
Tiga pemain warisan JDT dilarang beraksi di Liga-M - MFL

Tiga pemain berkenaan ialah penyerang Joao Figueiredo, pertahanan Jon Irazabal dan tonggak tengah Hector Hevel. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga pemain warisan Johor Darul Ta'zim (JDT) dilarang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang tempoh penggantungan, susulan denda dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.
Ringkasan AI
- MFL sahkan tiga pemain JDT terbabit penggantungan FIFA tidak dibenarkan beraksi dalam Liga-M sepanjang tempoh larangan.
- Tindakan susulan hanya akan diputuskan selepas keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA.
- Penggantungan ini berpunca daripada kesalahan dokumen palsu yang menyebabkan FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan denda serta larangan 12 bulan.
"Tindakan susulan bagi kes ini hanya akan dibuat MFL selepas keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA," menurut kenyataan MFL hari ini.
Pada Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Empat lagi pemain dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami