KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang terus berusaha bagi mendapatkan emas pertama buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan mengucapkan tahniah kepada The Pocket Rocketman yang telah menghadiahkan kilauan emas berganda pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai.

"Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan pencapaian beliau ini dan atlet-atlet sukan lain yang sentiasa berusaha gigih mengharumkan nama Malaysia di arena sukan antarabangsa.

"Tahniah semuanya! Malaysia berbangga," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya, pada Isnin.


Pada ACC 2023 yang menutup tirai hari ini, Mohd Azizulhasni, 35, sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila meraih gelaran berganda menerusi acara pecut, Rabu lepas dan keirin semalam, sekali gus mencipta legasi sendiri dengan 12 pingat emas ACC secara keseluruhan.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga merakamkan ucapan tahniah kepada pelumba negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang telah menamatkan penantian tujuh tahun untuk meraih gelaran di pentas Asia selepas mengungguli acara 1 kilometer (km) ujian masa individu (ITT) hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu mencatatkan satu minit 00.559 saat pada final sekali gus mengakhiri kemarau lebih sedekad Malaysia untuk gelaran tersebut selepas kejayaan Mohd Edrus Yunus pada edisi 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

- BERNAMA