SPORTS
Tugas Tengku Zafrul di BAM lebih mudah - Mohamad Norza

Mohamad Norza (dua, kiri) berharap BAM di bawah Tengku Zafrul bukan sahaja memburu pingat emas Olimpik tetapi juga melahirkan lebih ramai juara dunia. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yakin pengganti beliau Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tidak berdepan masalah untuk menerajui badan induk badminton negara itu selepas pelbagai penambahbaikan dilakukan sejak beberapa tahun lepas.
Ringkasan AI
- Bekas Presiden BAM percaya bahawa penggantinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mampu menerajui badan induk badminton negara dengan memanfaatkan asas yang telah dibina.
- Mohamad Norza berharap BAM di bawah Tengku Zafrul bukan sahaja memburu pingat emas Olimpik tetapi juga melahirkan lebih ramai juara dunia.
- Pemisahan fungsi antara BAM dan Akademi Badminton Malaysia (ABM), serta pelantikan tenaga profesional utama seperti Ketua Pegawai Kewangan, telah menyediakan asas kukuh untuk masa depan.
"Jurang inilah yang perlu diisi oleh Tengku Zafrul agar tadbir urus sedia ada dapat diperkukuh dan dipertingkat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAM ke-80 di sini hari ini.
Mohamad Norza berkata pemisahan fungsi antara BAM sebagai badan induk dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai pusat berprestasi tinggi, serta pelantikan beberapa tenaga profesional utama termasuk Ketua Pegawai Kewangan yang kini disandang Amelia Gan telah menyediakan asas kukuh untuk masa depan.
Mohamad Norza yakin Tengku Zafrul memiliki segala kriteria yang diperlukan untuk memimpin BAM, sambil menyifatkan tokoh korporat itu bukan sahaja muda, tetapi juga mempunyai jaringan hubungan luas terutamanya dengan penaja.
Dalam pada itu, beliau berharap Tengku Zafrul bukan sahaja dapat membantu BAM memburu pingat emas sulung pada Sukan Olimpik, tetapi melahirkan lebih ramai juara dunia khususnya dalam acara selain beregu lelaki.
Untuk rekod, pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mencipta sejarah apabila muncul juara dunia pertama dari Malaysia pada Kejohanan Dunia di Tokyo pada 2022.
Mohamad Norza turut menyuarakan hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai antara tiga kuasa besar badminton dunia dan merampas semula trofi berprestij Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992.
"Langkah ke hadapan ialah untuk menjadi tiga terbaik dunia, tetapi untuk berada pada tahap itu kita perlu mengatasi China, Jepun, Korea Selatan dan juga Indonesia," katanya.
"Jadi, cara untuk menutup jurang ini adalah dengan melantik pemimpin baharu yang hadir dengan idea segar dan hala tuju yang lebih dinamik, dibantu oleh dua timbalan," katanya.
Terdahulu, Tengku Zafrul secara rasmi dilantik sebagai Presiden BAM ke-13 selepas dipilih sebulat suara tanpa dicabar dalam pemilihan yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan BAM hari ini.
Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa bekas pemangku presiden BAM Datuk V. Subramaniam dikekalkan sebagai timbalan presiden 1, manakala Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos kekal sebagai timbalan presiden 2.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami