DAVID MOYES memberikan pujian khas buat Mohammed Kudus selepas pemain sayap Ghana itu membantu West Ham bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan TSC Backa Topola dalam perlawanan Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.

The Hammers beraksi di bawah cuaca ekstrem dalam pengembaraan peringkat Eropah terbaharu mereka di Stratford tetapi pemain yang baru dibeli musim panas lalu, Kudus, dan pemain gantian, Tomas Soucek, memastikan mereka memulakan kempen itu dengan langkah kanan.

Kawasan gelanggang dibadai hujan lebat sebelum sepak mula perlawanan itu dan membasahi permukaan padang Stadium London.

Pintu laluan air gagal dibuka dalam babak pertama dan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi di atas permukaan padang berair, di mana West Ham menguasai permainan tetapi ketinggalan gara-gara kesilapan Angelo Ogbonna untuk Petar Stanic membuka jaringan buat pelawat pada minit ke-47.

"Malam ini, saya rasa kami telah melakukan sesuatu yang cukup untuk memenangi perlawanan ini walaupun saya tidak rasa kami beraksi baik," kata Moyes.

"Jaringan itu sudah pasti terhasil daripada kesilapan kami sendiri tetapi saya tidak takut kalah. Ia satu perlawanan di mana kami menguasai bola dan memberikan kami peluang untuk melihat apa yang boleh kami lakukan berdasarkan apa yang pasukan ini telah lakukan sebelum ini.

"Kesilapan itu mengubah permainan tetapi ia juga memberikan kami lebih keazaman.

"Saya rasa Kudus telah melakukan sesuatu yang amat baik dan menghasilkan gol yang amat penting pada ketika saya buntu bagaimana kami boleh mendapatkannya," katanya.

West Ham menerima padah apabila Ogbonna kehilangan bola di kawasan tengah sebelum Stanic menghasilkan gol pembukaan buat lawan dari Serbia berkenaan.

Bagaimanapun, The Hammers, yang merupakan juara Liga Persidangan Europa (UECL) selepas menewaskan Fiorentina pada Jun lalu, mula bangkit apabila sepakan lintang Said Benrahma ditanduk masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan TSC, Nemanja Petrovic.

Kudus kemudian memperoleh jaringannya berselang empat minit sebelum giliran Soucek menanduk masuk gol ketiga West Ham -- kedua-duanya daripada sepakan penjuru James Ward-Prowse -- untuk The Hammers menamatkan aksi selaku pemenang dengan 3-1.

*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro