GARY Neville berasakan Manchester United bukan lagi pasukan yang 'bosan dan hambar' seperti di bawah kendalian Louis van Gaal dan percaya mereka dalam perjalanan untuk kembali melakar kejayaan.

Selepas David Moyes dan Van Gaal gagal mengekalkan status United sebagai kuasa besar dalam saingan bola sepak Inggeris, kehadiran Jose Mourinho mampu mengembalikan zaman kegemilangan di Old Trafford.

United bergelut untuk mempamerkan aksi cemerlang pada awal musim, namun kembali mampu mencabar kedudukan empat terbaik selepas melakar lima kemenangan berturut-turut, terutama sekali selepas Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba menemui rentak permainan.

"Musim lalu atau musim sebelum itu, anda melihat Man Utd dan berfikir: 'Ini bukan Manchester United, ini bukan cara mereka bermain.' Kami melihat perlawanan yang pasif, bosan dan hambar," kata Neville.

"Kini anda dapat melihat serangan balas dalam permainan United. Pogba beraksi semakin baik dan Ibrahimovic berjaya menghasilkan gol. Tidak terlupa pertahanan mereka juga beraksi dengan lebih baik."