MANCHESTER United tidak boleh menukar pengurus secara berterusan dan Ole Gunnar Solskjaer patut diberikan masa untuk membuktikan kemampuannya, kata Robin van Persie.

Bulan lalu, Van Persie dan Solskjaer bertikam lidah selepas bekas penggempur Belanda itu menggesa agar pengurus United itu menunjukkan reaksi yang lebih agresif susulan kekalahan di tangan Arsenal.

Solskjaer menolak nasihat itu, berkata walaupun Van Persie mengambil jersi nombor 20 miliknya di Old Trafford, dia tidak berhak untuk corak pengurusannya dan bertekad tidak mahu mengubah pendekatan itu.

Namun, tatkala kelab itu kini menduduki tangga ketujuh liga, bekas penyerang United dan Real Madrid itu berkata kekerapan menukar pengurus tidak akan memberikan manfaat.

Jika benar Solskjaer adalah pilihan United, Van Persie berkata mereka patut memberikannya masa.

"Selepas persaraan Sir Alex Ferguson, semua orang sedar bahawa sukar untuk kekal di tahap itu susulan kejayaan yang diraih sebelum itu," katanya.

"Saya fikir semua orang melihatnya. David Moyes pernah melaluinya, begitu juga Louis van Gaal, Jose Mourinho dan kini Solskjaer.

"Ferguson memerlukan masa untuk mengubah dan sampai ke tahap itu. Saya tidak fikir bagus buat kelab untuk terus bertukar pengurus dalam tempoh setahun atau dua tahun.

"Jika anda memilih Solskjaer, dia perlu disokong dan diberikan masa. Itu yang saya fikirkan kerana pasukan memerlukan kestabilan."

Isnin lalu, United meraih kemenangan penting 2-0 ke atas Chelsea untuk meletakkan mereka hanya ketinggalan tiga mata daripada kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.



Van Persie teruja dengan persembahan dipamerkan tetapi tidak konsisten mengekang United daripada bersaing di peringkat elit seperti Liverpool dan Manchester City.

"Kini, mereka menewaskan Chelsea dan sejujurnya, ia perlawanan yang baik," tambahnya.

"Namun, anda tidak akan tahu apa yang berlaku dalam aksi seterusnya. Ia tidak cukup konsisten untuk mencabar kejuaraan.

"Sukar kerana anda perlu bersaing dengan Liverpool yang begitu memukau serta City yang hebat.

"City tidak mencapai tahap sama pada tahun ini tetapi berdasarkan beberapa tahun kebelakangan ini, mereka dan Liverpool sangat hebat.

"Itu tahap yang perlu dicapai United. Itulah konsiten dan ia perkara paling sukar dalam bola sepak kerana saingan liga sangat sukar.

"Walaupun anda berdepan Burnley di tempat lawan, pasukan sebegitu sangat sukar untuk ditewaskan. Anda perlu melakukan segala perkara yang betul dan menjadi satu cabaran besar untuk kekal konsisten."