Uruguay bermain "di bawah kemampuan sebenar" - Bielsa

Bielsa berkata pasukannya layak untuk menang, namun berasa lawan mereka lebih berpuas hati dengan prestasi dipamerkan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa mengakui pasukannya jauh daripada prestasi terbaik mereka, selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Republik Dominika yang berada pada ranking dunia ke-142, dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam tadi.
Ringkasan AI
- Marcelo Bielsa akui prestasi Uruguay belum memuaskan, walaupun menang 1-0 ke atas Republik Dominika dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
- Gol tunggal dijaringkan oleh Ignacio Laquintana, menyelamatkan maruah Uruguay yang beraksi tanpa beberapa pemain utama seperti Valverde, Nunez dan Araujo.
- Uruguay akan bertemu Uzbekistan di Melaka, dengan Bielsa menjangkakan cabaran lebih sengit memandangkan Uzbekistan sudah layak ke Piala Dunia dan mempunyai jurulatih baharu.
"Dalam kata lain, saya berpendapat walaupun kami layak untuk menang, namun pasukan lawan bermain lebih daripada potensi mereka manakala kami bermain di bawah kemampuan dan keupayaan sebenar," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, pemain tengah berusia 26 tahun Ignacio Laquintana muncul wira La Celeste selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa kedua, sekali gus menyelamatkan maruah pasukan ranking dunia ke-15 itu.
Uruguay beraksi tanpa beberapa pemain utama akibat kecederaan dan masalah kesihatan termasuk pemain Atletico Madrid Jose Maria Gimenez, Darwin Nunez (Al-Hilal), Federico Valverde (Real Madrid), Ronald Araujo (FC Barcelona) dan Manuel Ugarte (Manchester United).
Selepas menentang Republik Dominika, Uruguay akan menamatkan jelajah mereka di Malaysia menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Isnin (13 Okt).
"Memandangkan Uzbekistan sudah layak ke Piala Dunia dan semangat baharu dengan kehadiran jurulatih baharu, kami percaya perlawanan itu akan menjadi cukup mencabar," kata Bielsa.
Sementara itu, bekas pengurus Leeds United itu turut memuji kemudahan stadium yang menjadi lokasi perlawanan malam tadi.
"Stadium ini sangat baik dan saya tidak menghadapi sebarang kesukaran serta tiada kritikan terhadap stadium tempat kami bermain," kata jurulatih berusia 70 tahun kelahiran Argentina itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami