SUKAN
Uruguay main dua perlawanan persahabatan di Malaysia

Sidang media '2025 Stars Of Uruguay, Global Friendly In Malaysia' di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Juara Piala Dunia dua kali Uruguay akan bermain dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Malaysia bulan depan.
Uruguay yang menampilkan bintang seperti Federico Valverde dari Real Madrid, Ronald Araujo (Barcelona) dan Manuel Ugarte dari Manchester United dijadualkan menentang Republik Dominika di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 10 Okt.
Skuad kendalian Marcelo Bielsa itu yang baru-baru ini layak ke Piala Dunia 2026 kemudian akan menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat di Melaka pada 13 Okt.
Pengerusi Rainbow Hainan Li Yiming selaku penganjur perlawanan berkata Malaysia dipilih kerana budaya bola sepaknya dan peminat yang ramai, serta terdapatnya kemudahan dan infrastruktur bertaraf dunia bagi menganjurkan acara sukan."Atas sebab ini kami memilih Malaysia sebagai tuan rumah bagi acara berprestij ini. Perlawanan ini bukan sahaja menampilkan kemahiran bola sepak bertaraf dunia tetapi juga bukti kuasa sukan yang merentasi budaya, memberikan inspirasi dan mencipta kenangan manis.
"Kami komited untuk menyatukan bola sepak antarabangsa berkelas tinggi dengan keunikan budaya dan aset pelancongan Malaysia, menyajikan pengalaman sukan yang sukar dilupakan kepada peminat," katanya pada sidang media '2025 Stars Of Uruguay, Global Friendly In Malaysia' di sini hari ini.
Sementara itu, Duta Uruguay ke Malaysia L. Mariela Machado menzahirkan keterujaannya untuk melihat skuad La Celeste beraksi dan menghiburkan penonton di sini.
Beliau percaya kehadiran Uruguay akan memberikan impak positif terhadap bola sepak Malaysia sambil tidak menolak kemungkinan perlawanan antara Malaysia dan Uruguay pada masa akan datang.
"Jadi, saya rasa ini peluang pertama untuk kita membina jambatan antara negara dan langkah seterusnya mestilah (perlawanan) dengan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia," katanya.
Uruguay kini berada pada kedudukan ke-16 dunia manakala Uzbekistan (ke-55) dan Republik Dominican ke-142. Tiket untuk kedua-dua perlawanan dijangka dijual dalam talian mulai 18 Sept.
Sementara itu, Harimau Malaya akan menentang Laos dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 Okt di Vientiane dan pada 14 Okt di sini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami