Vave Singapore dilancar di Pulau Pinang menerusi acara Playcation Bola Pikel pertama dunia

Pasukan Vave Singapore ketika majlis pelancaran aplikasi mudah alih Vave di Pulau Pinang. - Facebook Vave
GEORGE TOWN: Vave Singapore, yang dilancarkan di Pulau Pinang menerusi acara sukan Playcation Bola Pikel pertama di dunia, memperkenal format baharu kejohanan menggabungkan permainan kompetetif dengan aktiviti pelancongan, penyertaan keluarga dan penglibatan masyarakat.
Ringkasan AI
- Vave Singapore melancarkan Playcation Bola Pikel pertama di Pulau Pinang, gabungan kejohanan kompetitif dengan aktiviti pelancongan, keluarga, dan masyarakat.
- Acara tersebut menampilkan 13 pasukan serantau, menawarkan pengalaman sukan keluarga yang unik dengan lawatan pelancongan tempatan, penginapan, serta pakaian eksklusif.
- Vave juga akan menyokong kejohanan bola pingpong di Pulau Pinang, menawarkan platform mudah alih untuk pendaftaran, jejak keputusan, dan pengalaman sukan amatur yang lebih profesional.
Kenyataan Vave memaklumkan Playcation Bola Pikel lebih daripada sekadar satu pertandingan kerana ia direka sebagai percutian sukan keluarga yang lengkap menggabungkan aksi kejohanan secara santai dengan pengalaman kebudayaan bagi atlet amatur.
Pakej acara termasuk lawatan pelancongan tempatan di sekitar Pulau Pinang, penginapan hotel dan pengangkutan tempatan, penyertaan ke semua perlawanan serta kemeja T eksklusif dan beg cenderahati untuk peserta.
Penganjuran acara itu juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, kempen pelancongan kebangsaan yang bertujuan menarik pelancong antarabangsa melalui pengalaman pelbagai budaya dengan penekanan terhadap perjalanan mesra keluarga, kelestarian dan warisan unik Malaysia.
Playcation Bola Pikel akan menjadi platform pelancaran bagi Vave, aplikasi mudah alih dan sistem pengurusan kejohanan yang dibangun bagi menyokong pertandingan serantau, perjalanan sukan berorientasikan keluarga serta acara masyarakat di seluruh Asia.
Menurut kenyataan itu, platform tersebut membolehkan peserta mendaftar untuk kejohanan, menjejaki keputusan perlawanan, melihat kedudukan ranking dan menyimpan rekod sejarah perlawanan melalui satu sistem bersepadu, membantu memprofesionalkan pengalaman sukan amatur sambil memastikan ia kekal mudah diakses serta mesra komuniti.
Vave juga akan menyokong kejohanan bola pingpong di Pusat Pingpong Pulau Pinang dari 31 Jan hingga 1 Feb 2026, yang membuktikan kebolehsuaian platform itu merentasi pelbagai acara sukan.
Pengasas Vave Varad Kumaravelu berkata aplikasi itu direka bagi menghubungkan kejohanan serantau merentasi pelbagai acara sukan sambil menyediakan pengalaman yang lancar untuk pemain dan keluarga.
"Ia dibangun untuk menjadikan sukan amatur lebih mudah diakses, tersambung dan menyeronokkan tanpa mengira jenis sukan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


