PEMANDU Red Bull, Max Verstappen muncul juara dunia Formula Satu (F1) selepas mengungguli perlumbaan Grand Prix (GP) Abu Dhabi di Litar Yas Marina sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Verstappen berjaya mengakhiri dominasi pemandu sensasi Mercedes, Lewis Hamilton yang memburu kejuaraan dunia F1 kali kelapan dalam kariernya.

Dalam perlumbaan penuh dramatik itu, Hamilton yang muncul juara dunia F1 dalam empat musim terakhir bermula 2017 terpaksa akur menamatkan saingan di tempat kedua.

Biarpun pada suatu ketika dilihat hampir pasti menggenggam trofi kejuaraan dunia kali kelapan apabila mendahului perlumbaan sejak pusingan ke-21, jentera dipandu Hamilton dipintas Verstappen pada pusingan terakhir.

Sebelum itu, Hamilton yang bermula di petak kedua menampilkan pemanduan bertenaga apabila memintas Verstappen, namun kedua-dua pemandu itu nyaris bertembung pada selekoh ketujuh pada pusingan pertama.

Verstappen dilihat agak bergelut untuk mengekalkan kelajuan dengan tayar lembut sehingga memaksa dia menukar tayar keras pada penghujung pusingan ke-13 sebelum Hamilton turut berhenti di pit pada pusingan seterusnya.

Memasuki pusingan ke-21, Hamilton berjaya memintas rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez sehingga dia tampak selesa memimpin perlumbaan menuju pusingan terakhir.

Drama berlaku pada pusingan terakhir itu apabila Verstappen secara tiba-tiba memintas Hamilton di selekoh keempat sebelum dia melintasi garisan penamat selaku juara diikuti Hamilton dan pemandu Ferrari, Carlos Sainz.



Artikel asal disiarkan di Sinar HarianVerstappen juara dunia F1