SUKAN
Wai Ching azam tawan Merdeka 118 bawah 16 minit

Wai Ching bercakap pada sidang media pada majlis pelancaran The Sky Race di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Jaguh larian menara negara Soh Wai Ching berazam untuk menawan Menara Merdeka 118 dengan catatan masa bawah 16 minit, pada edisi sulung The Sky Race yang dijadual berlangsung 30 Ogos ini.
Ringkasan AI
- Soh Wai Ching sasar bawah 16 minit - Pelari menara negara, Soh Wai Ching, berazam menawan Menara Merdeka 118 dengan masa bawah 16 minit dalam perlumbaan The Sky Race pada 30 Ogos ini.
- Keistimewaan dan cabaran tangga - Wai Ching menyatakan struktur tangga bangunan kedua tertinggi dunia itu unik dan mencabar, memberi kelebihan kepadanya kerana sudah beberapa kali menjalani latihan di situ.
- Penyertaan antarabangsa meningkat - Seramai 4,100 peserta dari 31 negara telah mendaftar, termasuk 20 pelari terbaik dunia, dan penganjur menyasarkan penyertaan mencecah 5,000 orang.
"Tangga Menara Merdeka 118 bukan macam biasa, agak pelik. Saya tak nak kongsi banyak sebab biarlah ada kejutan untuk peserta lain.
"Bagaimanapun, apa saya boleh beritahu, ini satu daripada tangga paling mencabar yang saya pernah panjat," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran The Sky Race di Stadium Merdeka, di sini semalam.
Menurut Wai Ching, setelah saingan The Sky Race, beliau akan menumpukan kepada perlumbaan di Shanghai Tower, China, November depan.
Beliau berkata perlumbaan di menara ketiga tertinggi dunia itu menjadi peluang terbaiknya untuk merampas semula takhta nombor satu dunia dari wakil Jepun Ryoji Watanabe.
Sementara itu, Pengarah perlumbaan Jeffrey Ross berkata sebanyak 4,100 peserta dari 31 negara telah mendaftar setakat ini.
Ross berkata beliau gembira dengan sambutan menggalakkan dan berharap sasaran 5,000 peserta dapat dicapai sebelum pendaftaran ditutup dalam tempoh 10 hari lagi.
"Hampir 80 peratus peserta adalah dari Malaysia, manakala 20 peratus lagi pelbagai negara. Saya juga boleh mengesahkan sebahagian daripada 20 pelari menara terbaik dunia turut mengambil bahagian.
"Ini bukan perlumbaan semata-mata, tetapi juga pengalaman luar biasa yang menjanjikan pemandangan panorama Kuala Lumpur paling menakjubkan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami