KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner menyifatkan pasukan yang dibentuk bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini merupakan skuad idaman.

Beliau berkata TFC lebih seimbang dengan menggabungkan pemain muda dan berpengalaman melengkapkan semua posisi permainan, ditambah dengan tonik baharu iaitu dua bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Safawi Rasid.

"Saya juga kenal Akram (Akram Mahinan) beberapa tahun. Musim lepas, dia tidak bermain keseluruhan perlawanan tapi dia merupakan pemain tempatan yang hebat bagi menambah kualiti di barisan tengah.

"Akinade (Ismaheel Akinade) pula, saya yakin dia boleh menyaingi Ivan (Ivan Mamut) kerana turut mempunyai kualiti sebagai penyerang. Saya jangkakan mereka akan lebih baik musim ini. Kita akan lihat nanti," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama TFC di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini petang semalam.

Sementara itu, Steinbruckner menggesa kesemua pemain agar meningkatkan prestasi untuk mencipta pencapaian lebih gemilang pada musim 2024/205.

Beliau berkata persediaan awal amat penting demi memastikan skuad Penyu dapat mengharungi saingan Liga-M yang pastinya memenatkan.

"Setiap pemain perlu tingkatkan prestasi mereka. Kita akan adakan perlawanan persahabatan selepas ramadan," katanya yang masih berusaha mendapatkan khidmat dua pemain import sebelum jendela perpindahan pertama ditutup pada 3 Mei depan.

-- BERNAMA