Selain mengisi masa yang terluang pada cuti sekolah, program WCT KIDSS 2019, anjuran WCT Holdings Berhad mengumpulkan 40 kanak-kanak untuk mencungkil bakat dalam sukan bola keranjang.

Program berkonsep klinik sukan bola keranjang itu dilihat sebagai satu inisiatif dalam memupuk semangat kesukanan dan mencungkil bakat terpendam dalam diri kanak kanak.

Selepas empat hari sesi latihan bersama jurulatih professional, program yang disertai kanak-kanak berusia antara 9 hingga 12 tahun ini juga membuka peluang kepada kanak-kanak untuk mengenal pasti hobi dan minat baharu.

Kanak-kanak ini melalui program latihan selama empat hari dan satu hari perlawanan persahabatan 3 lawan 3 dibawah bimbingan jurulatih professional negara daripada All Star Basketball Academy.

Menurut Pengarah Korporat Strategi WCT Holdings Berhad, Ng Chee Kiet, aktiviti seperti ini dapat memberi pengalaman kepada peserta yang mungkin sebelum ini belum mencuba sukan bola keranjang.

“Kita telah memulakan sesi latihan sejak Rabu dan jurulatih dari All Star Basketball Academy telah melakukan tugas yang baik, kanak-kanak ini sungguh gembira.

"Mereka telah mempelajari beberapa asas untuk bermain bola keranjang dan hari ini dapat dilihatkan bahawa golongan kanak-kanak ini sememangnya berseronok," katanya.

Ini merupakan program edisi kelima WCT Holdings Berhad yang telah menganjurkan banyak liga sebelum ini dan ini adalah kali pertama dianjurkan di dalam pusat membeli-belah.

Dalam masa sama, pihaknya berharap dapat melakukan aktiviti seperti ini lagi dalam masa akan datang.

Chee Kiet juga menekankan bahawa sukan adalah satu langkah berkesan untuk mendekatkan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program ini disertai oleh 30 atlet muda bola keranjang yang menetap di komuniti setempat dan 10 kanak-kanak daripada Yayasan Sunbeams Home.

Kanak-kanak ini telah melalui program latihan selama empat hari dan satu hari perlawanan persahabatan 3 lawan 3 di bawah bimbingan jurulatih yang layak dan terkenal dalam negara daripada All Star Basketball Academy.