KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menghidupkan semula peluang untuk ke separuh akhir selepas bangkit mengejutkan pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam perlawanan kedua Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2023 di Hangzhou, China, pada Khamis.

Tang Jie-Ee Wei menampilkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Watanabe-Higashino, 12-21, 21-16, 21-16 dalam pertarungan 61 minit penuh debaran yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Kejayaan semalam merupakan kemenangan pertama bagi beregu nombor lapan dunia itu ke atas Watanabe-Higashino selepas tiga pertemuan iaitu sejak pertembungan pertama mereka pada separuh akhir Terbuka Singapura 2023, Jun lepas.

Tang Jie-Ee Wei bakal meraih tiket separuh akhir pada kejohanan WTF sulung mereka itu, jika gandingan itu berhasil mengatasi beregu nombor enam dunia Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand dalam aksi akhir Kumpulan A esok.

Berdasarkan rekod, beregu Thailand itu mempunyai kelebihan dengan dua kemenangan daripada tiga perlawanan setakat ini.

Pertemuan awal mereka pada suku akhir Terbuka Malaysia 2023 Januari lepas berakhir dengan kemenangan 21-19, 21-9 Dechapol-Sapsiree.

Pada Rabu, Tang Jie-Ee Wei memulakan kempen kejohanan dengan langkah kiri apabila tewas kepada beregu tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 21-10, 21-13.

Dua beregu terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

-- BERNAMA