SUKAN
WUG 2025: Muhammad Azeem gagal ke final 200m, akui belum sedia pikul dua acara

Muhammad Azeem yang menduduki tempat keempat dalam acara 100m pada Rabu akan membantu kuartet 4x100m negara pada aksi pusingan saringan, awal pagi Sabtu waktu Malaysia. - Gambar fail/BERNAMA
BOCHUM (Jerman): Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi gagal melayakkan diri ke final 200 meter (m) lelaki pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion di sini, awal pagi ini waktu Malaysia.
Muhammad Azeem menamatkan saringan satu saingan separuh akhir pada kedudukan ketujuh selepas merakam masa 21.51 saat (s), lebih perlahan berbanding catatan 21.26s yang dilakukan dalam aksi pusingan pertama, semalam.
Pemenang 100m Bayanda Walaza dari Afrika Selatan terus memperagakan larian cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan 20.76s, diikuti atlet Sepanyol Adria Medero kedua (20.77s) dan Christopher Ius dari Australia ketiga (20.85s).
Ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan, Muhammad Azeem mengakui berdepan keletihan akibat berlari tanpa henti selama empat hari berturut-turut termasuk dalam acara 100m."Saya masih berlari hari ini untuk membuktikan saya layak berada di sini dan saya mahu bersaing, bukan hanya untuk sertai saja. Sejujurnya selepas larian hari ini saya tahu keadaan badan saya belum bersedia untuk sertai dua acara dalam satu kejohanan.
"Tetapi ini persediaan sangat baik untuk 2026 sebab perancangan saya berlari dalam 100m dan 200m, jadi nak kata saya kecewa tidak, sebab saya tahu ini bukan acara utama saya," kata penuntut Universiti Auburn, Amerika Syarikat berusia 21 tahun itu
Muhammad Azeem berkata ini kali pertama beliau berlari dua acara dalam satu kejohanan sejak meninggalkan bangku sekolah.
Beliau memiliki catatan peribadi terbaik 20.79s yang dilakar pada kejohanan di Florida, April lepas yang juga satu-satunya penampilannya dalam acara 200m tahun ini sebelum beraksi di sini.
Catatan itu hanya dibezakan 0.02s daripada rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib.
Selepas ini, Muhammad Azeem yang menduduki tempat keempat dalam acara 100m pada Rabu lepas akan turun membantu kuartet 4x100m negara pada aksi pusingan saringan, awal pagi Sabtu waktu Malaysia.
Dalam pada itu, kuartet 4x400m campuran negara Umar Osman, Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi dan Chelsea Cassiopea Evalli Bopulas gagal ke final selepas menamatkan saringan dua pusingan pertama di tempat terakhir dengan masa 3 minit 31.72s.
Sementara itu, perseorangan lelaki badminton negara Eogene Ewe dan perseorangan wanita Wong Ling Ching mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengatasi lawan masing-masing di pusingan 16 terbaik pada aksi di Westenergie Sporthalle di Mulheim an der Ruhr.
Eogene menewaskan wakil Thailand Wongsup Wongsup-In 15-12, 15-9 untuk menempah pertemuan dengan Ting Yen Chen dari Taiwan, manakala Ling Ching mengatasi rakan senegara Siti Zulaikha Muhammad Azmi 15-3, 15-12 untuk membuat perhitungan berdepan wakil India Devika Sihag.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami