SEATTLE: Amazon didakwa membeli sejumlah besar buku lama dan sukar diperoleh di pasaran global yang dipercayai digunakan bagi membangunkan dan menambah baik model kecerdasan buatan (AI) serta produk digital syarikat itu, lapor Amanz.
Laporan media antarabangsa baru-baru ini mendakwa amalan itu mencetuskan kontroversi apabila sebahagian buku yang diperoleh dipotong pada bahagian belakangnya sebelum diimbas dan dimusnahkan di sebuah fasiliti Amazon di Las Vegas.
Melalui kaedah yang dikenali sebagai pengimbasan secara pemusnahan (destructive scanning), bahagian belakang buku dipotong bagi membolehkan setiap helaian diimbas secara berasingan untuk ditukar kepada data digital.
Menurut laporan itu, pendekatan berkenaan digunakan bagi mempercepat proses pendigitalan bahan bercetak yang sukar diperoleh dalam bentuk digital.
Pemerhati industri berkata syarikat pembangun AI kini berusaha mendapatkan sumber data baharu susulan kebimbangan bahawa bekalan kandungan internet berkualiti semakin terhad serta risiko kemerosotan prestasi model sekiranya sistem terus dilatih menggunakan kandungan yang dihasilkan oleh AI sendiri.
Situasi itu menyebabkan beberapa syarikat teknologi dilaporkan beralih kepada buku dan bahan bercetak lama yang belum didigitalisasikan sebagai sumber data latihan alternatif.
Mengulas perkara itu, Amazon mengesahkan syarikat berkenaan membeli buku melalui saluran komersial yang sah.
Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata pembelian berkenaan dilakukan untuk "membangunkan dan menambah baik produk serta perkhidmatan yang digunakan pelanggan".
Pada masa sama, komuniti pengumpul buku, ahli sejarah dan penganalisis pasaran menyuarakan kebimbangan bahawa amalan tersebut boleh menyebabkan kehilangan bahan bercetak yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan sekiranya naskhah asal dimusnahkan selepas proses pengimbasan selesai.