KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan surat kepada Presiden Tunisia, Kais Saied, bagi memohon pertimbangan terhadap pembebasan pemimpin politik negara itu, Sheikh Rached Ghannouchi.
Menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat, Anwar berkata beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan Ghannouchi, 84, yang masih berada dalam tahanan di Tunisia.
“Lantaran itu, saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Presiden Republik Tunisia, Kais Saied, bagi memohon pertimbangan sewajarnya terhadap keadaan kesihatan dan faktor usia beliau, termasuk mempertimbangkan pembebasannya atas dasar ihsan dan belas kasihan,” katanya.
Menurut Anwar, rayuan itu dibuat semata-mata atas pertimbangan kemanusiaan dan dengan penuh hormat terhadap kedaulatan Republik Tunisia serta proses perundangan negara berkenaan.
“Saya percaya nilai ihsan, belas kasihan dan maruah insan akan sentiasa menjadi pedoman dalam mendepani perkara ini,” katanya lagi.
Ghannouchi ditahan pada 2023 selepas dituduh mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghasut kekacauan, dan sejak itu berdepan beberapa perbicaraan berasingan.
Pada April lalu, beliau dan tiga pemimpin Ennahdha lain turut dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dalam kes berasingan dikenali sebagai “kes soiree Ramadan”.
Parti itu juga sebelum ini memaklumkan Ghannouchi pernah dipindahkan ke hospital susulan kemerosotan kesihatan dan mendesak pembebasannya, satu tuntutan yang turut disokong oleh pakatan pembangkang.