Skip to main content

Teknologi

Domain .web akhirnya dilancar selepas pertikaian hampir sedekad

https://amanz.my/2026574532
Hak pengendalian domain tersebut diberikan kepada Verisign susulan penyelesaian semua pertikaian berkaitan proses permohonan dan lelongan yang dikendalikan oleh Perbadanan Internet untuk Nama dan Nombor Yang Ditugaskan (ICANN). -Foto Amanz
Advertisement

RESTON: Domain aras atas umum (gTLD) .web dijangka ditawarkan secara rasmi kepada pengguna internet menjelang penghujung tahun ini selepas berdepan pertikaian undang-undang yang berlarutan hampir sedekad, lapor Amanz.

Hak pengendalian domain tersebut diberikan kepada Verisign susulan penyelesaian semua pertikaian berkaitan proses permohonan dan lelongan yang dikendalikan oleh Perbadanan Internet untuk Nama dan Nombor Yang Ditugaskan (ICANN).

Butiran penyelesaian itu tidak didedahkan kepada umum.

Verisign sebelum ini memenangi bidaan bagi pengendalian .web menerusi Nu Dot Co yang dibiayainya dalam lelongan ICANN pada 2016 dengan nilai AS$135 juta (kira-kira RM571 juta).

Syarikat itu kini turut mengendalikan domain .com dan .net, dua antara domain paling banyak digunakan di dunia.

Walaupun World Wide Web dibuka kepada penggunaan awam sejak awal 1990-an, domain .web hanya kini memasuki peringkat pelaksanaan komersial selepas melalui proses pertikaian yang panjang.

Domain tersebut juga bukan sebahagian daripada kumpulan gTLD terawal internet yang diperkenalkan pada 1985 seperti .com, .net dan .org.

Verisign berkata domain .web akan mula ditawarkan melalui rangkaian rakan pendaftarnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dengan maklumat lanjut mengenai pelancarannya akan diumumkan kemudian.

Pelancaran .web hadir ketika industri internet berdepan perubahan besar susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), yang semakin mempengaruhi cara pengguna mengakses dan menghasilkan kandungan dalam talian.

 

 

Must Watch Video

Advertisement