Skip to main content

Teknologi

Elon Musk mahu bina kilang satelit, sistem pelancar 'mass driver' di bulan

Elon Musk Ingin Membina Kilang Satelit dan Mesin Melontar Satelit Di Bulan - SpinLaunch
Fasiliti itu akan berfungsi sebagai tapak pengeluaran satelit berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur data yang mampu menyediakan kuasa pemprosesan melebihi kemampuan pusat data di bumi. -Foto Amanz

ELON Musk sekali lagi mengubah fokus eksplorasi angkasanya apabila menyatakan hasrat membina sebuah fasiliti di permukaan bulan dalam tempoh kurang 10 tahun, berbeza daripada sasaran awal membina koloni di Marikh.

Menurut laporan, fasiliti itu akan berfungsi sebagai tapak pengeluaran satelit berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur data yang mampu menyediakan kuasa pemprosesan melebihi kemampuan pusat data di bumi.

Advertisement

Dalam sesi taklimat dalaman xAI, Musk berkongsi visi untuk membina kilang satelit AI di bulan. Satelit tersebut bakal menyokong sistem AI generasi baharu yang memerlukan kapasiti komputasi berskala besar.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian itu hanya boleh direalisasikan dengan “pergi ke bulan” bagi membina keupayaan data dan pembuatan yang tidak dapat dicapai di bumi.

Bagi melancarkan satelit buatan itu ke orbit, Musk mencadangkan penggunaan sistem pelancar elektromagnetik gergasi dikenali sebagai mass driver.

Sistem ini akan memanfaatkan graviti bulan yang lebih rendah untuk menghantar muatan ke angkasa tanpa kebergantungan kepada roket tradisional.

Walaupun konsep mass driver pernah dibincangkan dalam komuniti kejuruteraan angkasa, butiran teknikal dan pelaksanaannya masih belum didedahkan sepenuhnya.

Perancangan ini timbul selepas penggabungan SpaceX dan xAI yang bertujuan menyepadukan keupayaan pelancaran angkasa dengan pembangunan infrastruktur komputasi AI.

Musk turut menyatakan bahawa bulan kini menjadi sasaran lebih realistik untuk pembinaan fasiliti jangka panjang berbanding Marikh kerana jaraknya yang lebih dekat serta peluang pelancaran yang lebih kerap. -Amanz

Must Watch Video