Skip to main content

Teknologi

Ford, Apple perkukuh kerjasama dalam teknologi automotif pintar

Sumber: AMANZ
Menurut Ford, data pemetaan peringkat jalan raya daripada Apple Maps dapat membantu sistem kenderaan memahami keadaan laluan dengan lebih tepat, termasuk konfigurasi persimpangan, selekoh dan pertukaran lorong untuk meningkatkan keselamatan pemanduan. -Gambar fail
Advertisement

DETROIT: Ford mengumumkan kerjasama strategik dengan Apple bagi menyepadukan teknologi navigasi ke dalam sistem pemanduan autonomi syarikat itu, sekali gus memperluas penggunaan perkhidmatan Apple dalam ekosistem kenderaan moden.

Menerusi kerjasama tersebut, Ford dilaporkan akan menggunakan Apple Maps sebagai sistem navigasi terbina dalam bagi fungsi bantuan pemandu untuk rangkaian Platform Kenderaan Elektrik Universal (UEV) generasi baharu, lapor Amanz.

Menurut Ford, data pemetaan peringkat jalan raya daripada Apple Maps dapat membantu sistem kenderaan memahami keadaan laluan dengan lebih tepat, termasuk konfigurasi persimpangan, selekoh dan pertukaran lorong untuk meningkatkan keselamatan pemanduan.

Sistem navigasi itu yang dibangunkan menggunakan teknologi pemetaan Apple dijadualkan diperkenalkan pada 2027, bermula dengan model trak elektrik bersaiz sederhana yang dijangka dijual pada harga sekitar AS$30,000 (kira-kira RM140,000).

Teknologi berkenaan akan disepadukan terus ke dalam sistem komputer kenderaan tanpa memerlukan sambungan iPhone melalui Apple CarPlay atau sebarang bayaran langganan tambahan.

Penganalisis industri menyifatkan langkah itu sebagai luar biasa memandangkan beberapa pengeluar automotif utama seperti General Motors (GM) dan Tesla sebelum ini memilih untuk membangunkan ekosistem perisian mereka sendiri.

Pembangunan sistem pemanduan autonomi generasi baharu itu akan diterajui anak syarikat Ford, Latitude AI, yang menggabungkan kepakaran kecerdasan buatan (AI) serta teknologi pemetaan bagi meningkatkan fungsi pemanduan bebas tangan BlueCruise.
 

Must Watch Video

Advertisement