Skip to main content

Teknologi

Fortnite kembali ke Google Play Store selepas enam tahun disingkirkan

AMANZ
Epic Games dalam kenyataan memaklumkan bahawa aplikasi itu akan tersedia di semua pasaran global susulan penyelesaian pertikaian undang-undang antara syarikat berkenaan dan Google yang dimuktamadkan tahun lalu. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Permainan video popular Fortnite akan kembali boleh dimuat turun secara rasmi melalui Google Play Store bermula 19 Mac, sekali gus menamatkan hampir enam tahun ketiadaan daripada platform berkenaan, lapor Amanz.

Epic Games dalam kenyataan memaklumkan bahawa aplikasi itu akan tersedia di semua pasaran global susulan penyelesaian pertikaian undang-undang antara syarikat berkenaan dan Google yang dimuktamadkan tahun lalu.

Advertisement

Sejak ia disingkirkan pada 2020 akibat tindakan Epic memintas sistem pembayaran dalam aplikasi, pemain Android terpaksa melakukan pemasangan manual atau menggunakan Epic Games Store bagi mengakses Fortnite.

Kepulangan Fortnite ke Google Play Store dijangka memudahkan akses ratusan juta pengguna sedia ada dan baharu, sekali gus merancakkan semula ekosistem permainan video mudah alih global.

Bagaimanapun, status ketersediaan Fortnite di Apple App Store masih belum menyeluruh memandangkan pertikaian antara kedua-dua syarikat itu masih berlanjutan di beberapa pasaran.

Dalam beberapa wilayah, termasuk EU dan AS, Fortnite kembali lebih awal selepas perubahan dasar platform berkenaan.

Keputusan Epic untuk kembali ke ekosistem Google dilihat sebagai langkah strategik yang membuka semula laluan pemasangan rasmi dan lebih selamat kepada pengguna Android di seluruh dunia.

Must Watch Video