Skip to main content

Teknologi

Google lancar Gemini Omni 1.1 Flash dengan keupayaan jana video AI 4K

_Gemini Omni_AMANZ
Model AI kreatif terbaharu itu turut dilengkapi keupayaan untuk menyambung adegan video secara lancar sehingga 40 saat bagi pengguna yang memerlukan jalan cerita atau babak yang lebih panjang. -Foto YouTube
Advertisement

MOUNTAIN VIEW: Google melancarkan versi terbaharu model kecerdasan buatan (AI) generatifnya, Gemini Omni 1.1 Flash, yang berupaya menghasilkan dan menyunting video bertaraf studio dengan resolusi sehingga 4K, lapor Amanz.

Model AI kreatif terbaharu itu turut dilengkapi keupayaan untuk menyambung adegan video secara lancar sehingga 40 saat bagi pengguna yang memerlukan jalan cerita atau babak yang lebih panjang.

Bagi mengoptimumkan hasil kreatif, model itu menyediakan kawalan khusus yang membolehkan pembangun menetapkan bingkai permulaan dan akhir bagi menghasilkan transisi serta pergerakan kamera yang lebih lancar.

Google berkata sistem berkenaan turut membolehkan janaan draf video pada resolusi 360p dengan kos penjanaan kira-kira satu pertiga berbanding pemprosesan pada resolusi standard 720p.

Penjimatan kos itu membolehkan proses eksperimen dan pembangunan kandungan dijalankan sehingga 60 peratus lebih pantas sebelum video akhir dinaik taraf kepada resolusi 4K.

Selain keupayaan menaik taraf kualiti video, Gemini Omni 1.1 Flash juga mampu menghasilkan visual yang konsisten berdasarkan klip video rujukan sehingga tiga saat.

Sistem AI itu kini boleh diakses menerusi Google AI Studio dan Gemini Enterprise Agent Platform, selain ditawarkan melalui Google Flow serta aplikasi Gemini kepada pelanggan pakej langganan yang layak.

Pelancaran versi 1.1 itu memfokuskan kepada kawalan kreatif yang lebih tepat untuk pembangun bagi mengekalkan konsistensi watak, pencahayaan dan persekitaran merentasi setiap syot video yang dijana.

Must Watch Video

Advertisement