NEARBY Share adalah ciri perkongsian fail pantas secara nirwayar oleh Google sebagai jawapan kepada AirDrop oleh Apple.

Tetapi sebelum Google memperkenalkan ciri ini, pengeluar peranti Android telah hadir dengan iterasi masing-masing seperti Xiaomi dengan Mi Share, Samsung dengan Quick Share, OnePlus dengan OnePlus Share dan banyak lagi.

Pengeluar China telah bergabung di mana ciri perkongsian fail Xiaomi, Oppo dan vivo menyokong antara satu sama lain.



Baru-baru ini Google cuba menyelarikan ciri perkongsian fail ini juga dengan menukar nama Nearby Share kepada Quick Share, nama yang Samsung telah lama gunakan.

Quick Share serba baharu ini kemudiannya diperkenalkan kepada pengguna siri Samsung Galaxy S24 sahaja.

Kini, pengguna Android lain seperti Pixel 8, Pixel 7, OnePlus 11 dan dalam semakan saya Poco X6 Pro dan Xiaomi 13 turut telah menerima Quick Share baharu ini bersama-sama dengan ikon yang dikemas kini.

Dengan kemas kini ini, pengguna Samsung Galaxy lain boleh menggunakan Quick Share ke peranti Android lain.

Pengguna Samsung yang ingin berkongsi menggunakan kod QR kini mempunyai had 5GB berbanding 3GB sebelum ini. -Amanz