KUALA LUMPUR: Google secara rasmi melancarkan Gemini Spark di Malaysia, sekali gus memperkenalkan ejen kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengautomasikan pelbagai tugasan digital yang kompleks dan berulang secara autonomi, lapor Amanz.
Dikuasakan oleh model Gemini 3.6 Flash, Gemini Spark direka untuk beroperasi secara berterusan di latar belakang menerusi infrastruktur awan Google, membolehkannya melaksanakan tugasan berbilang langkah walaupun komputer ditutup atau telefon pintar dikunci.
Perkhidmatan itu disepadukan secara langsung dengan aplikasi Google Workspace termasuk Gmail, Google Docs, Google Sheets, Google Calendar, Google Keep dan Google Tasks tanpa memerlukan sebarang konfigurasi tambahan.
Melalui keupayaan tersebut, Gemini Spark boleh membantu menyusun draf komunikasi, mengesan invois serta resit dalam Gmail, merekodkan perbelanjaan ke dalam hamparan elektronik dan menghasilkan laporan kewangan secara automatik mengikut arahan pengguna.
Dikuasakan oleh model Gemini 3.6 Flash, Gemini Spark direka untuk beroperasi secara berterusan di latar belakang menerusi infrastruktur awan Google, membolehkannya melaksanakan tugasan berbilang langkah walaupun komputer ditutup atau telefon pintar dikunci.
Ejen AI itu juga mampu menganalisis e-mel terdahulu untuk membentuk panduan gaya penulisan peribadi pengguna, sekali gus membantu menghasilkan draf mesej yang lebih konsisten pada masa hadapan.
Google berkata Gemini Spark sentiasa beroperasi di bawah kawalan pengguna, dengan akses kepada aplikasi dan data ditentukan sendiri oleh pemilik akaun.
Sistem itu turut direka untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum melaksanakan tindakan berisiko tinggi seperti menghantar e-mel atau membuat pembelian.
Pengenalan Gemini Spark dilihat sebagai langkah terbaharu Google dalam memperluaskan penggunaan ejen AI peribadi yang mampu menguruskan tugasan harian dan kerja pentadbiran secara automatik.
Buat masa ini, Gemini Spark ditawarkan kepada pelanggan Google AI Pro dan Google AI Ultra di Malaysia dalam Bahasa Malaysia serta bahasa Inggeris.